Orang politik tunggang krisis diraja Negeri Sembilan?

PENGLIBATAN beberapa tokoh politik dalam kemelut membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan didakwa hanya memburukkan lagi keadaan dan berisiko menjejaskan kemuliaan institusi Raja serta Undang di negeri berkenaan.

Pemerhati politik, Ahmad Mursi berkata, krisis yang sedang berlaku sepatutnya diselesaikan mengikut peruntukan Perlembagaan Negeri Sembilan dan saluran perundangan, bukannya dijadikan medan untuk meraih perhatian atau keuntungan politik.

Beliau mendakwa kemunculan beberapa individu politik bersama pihak yang berusaha memasyhurkan Yang di-Pertuan Besar baharu ketika kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir masih dipertikaikan telah menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi diraja.

“Apabila orang politik mula menunggang krisis diraja, pihak yang paling rugi ialah institusi diraja itu sendiri. Krisis yang sepatutnya diselesaikan secara tertib akhirnya menjadi bahan polemik politik dan perdebatan terbuka.

“Institusi Raja-Raja Melayu tidak seharusnya dijadikan alat untuk mencapai agenda politik mana-mana pihak,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Menurut Ahmad Mursi, tindakan sesetengah pihak menguar-uarkan bahawa Yang di-Pertuan Besar baharu telah dimasyhurkan, termasuk menerusi media sosial dan siaran langsung majlis permasyhuran, hanya menambahkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, perkara itu berlaku ketika Kerajaan Persekutuan masih mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan menegaskan bahawa sebarang proses pelucutan atau permasyhuran perlu mematuhi Perlembagaan Negeri Sembilan.

Katanya, penganjuran istiadat permasyhuran ketika pertikaian masih belum diputuskan secara muktamad turut menimbulkan persoalan mengenai kesahihan proses yang dilaksanakan.

“Bagaimana seseorang Yang di-Pertuan Besar baharu boleh dimasyhurkan sedangkan penyandang sedia ada masih berada di atas takhta dan masih diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan?

“Persoalan inilah yang menjadi antara isu utama yang sedang diperdebatkan,” katanya.

Ahmad Mursi menjelaskan bahawa Undang sememangnya mempunyai kuasa adat untuk memilih atau melucutkan Yang di-Pertuan Besar, manakala Menteri Besar tidak terlibat dalam membuat keputusan adat tersebut.

Bagaimanapun katanya, Perlembagaan Negeri Sembilan menetapkan bahawa selepas sesuatu keputusan dibuat, proklamasi berkaitan perlu ditandatangani dan diumumkan oleh Undang serta Menteri Besar.

“Isu sama ada proses itu dipatuhi atau tidak kini menjadi pertikaian utama. Jika prosedur yang ditetapkan tidak dilaksanakan, maka timbul persoalan mengenai kesahan tindakan yang dibuat,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan asas pelucutan Yang di-Pertuan Besar sekiranya tindakan itu benar-benar berlaku, termasuk sama ada ia dibuat berdasarkan alasan yang sah dan selaras dengan kehendak perlembagaan negeri.

Mengulas tindakan mahkamah, Ahmad Mursi berkata, Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan permohonan injunksi ad interim yang dikemukakan Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) terhadap enam pihak berkaitan pertikaian tersebut.

Katanya, perintah itu antara lain menghalang sebarang mesyuarat atau sidang khas DKU diadakan, menghalang fungsi Setiausaha DKU daripada diambil alih oleh pihak lain serta menghalang usaha melucutkan jawatan penyandang berkenaan.

Ujarnya, walaupun terdapat hujah bahawa sidang khas berkaitan permasyhuran diadakan sebelum keputusan injunksi dikeluarkan, mahkamah turut mengarahkan supaya status quo pentadbiran dikekalkan seperti keadaan sebelum 21 Mei lalu.

“Mahkamah mungkin tidak boleh campur tangan dalam keputusan adat yang diperuntukkan sebagai muktamad, tetapi mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada proses yang dilaksanakan mematuhi Perlembagaan Negeri Sembilan atau sebaliknya.

“Sebab itu semua pihak perlu menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Ahmad Mursi turut mengingatkan bahawa sejarah pernah memperlihatkan campur tangan politik dalam pertikaian institusi diraja yang akhirnya menimbulkan polemik berpanjangan.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya tidak menjadikan institusi diraja sebagai alat politik kerana tindakan sedemikian hanya akan menghakis kewibawaan institusi yang menjadi lambang perpaduan dan kedaulatan negeri.

Related Posts

PKR Masjid Tanah tampil calon muda, bukti komitmen bawa perubahan 

MASJID TANAH – PKR Cabang Masjid Tanah memberi bayangan bakal menampilkan barisan calon muda pada pilihan raya akan datang sebagai usaha membawa pembaharuan politik yang lebih dekat dengan denyut nadi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Had umur 16 tahun media sosial wajar lindungi remaja dari ancaman siber – Dr Haryati

KOTA KINABALU – Pelaksanaan had umur minimum 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial merupakan langkah wajar untuk melindungi remaja daripada pelbagai ancaman siber. Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Trump arah ketua perisikan sementara pecat kakitangan

Trump arah ketua perisikan sementara pecat kakitangan

Orang politik tunggang krisis diraja Negeri Sembilan?

Orang politik tunggang krisis diraja Negeri Sembilan?

PKR Masjid Tanah tampil calon muda, bukti komitmen bawa perubahan 

PKR Masjid Tanah tampil calon muda, bukti komitmen bawa perubahan 

Permohonan undi pos PRN Johor dibuka

Permohonan undi pos PRN Johor dibuka

UMS laksana MSM, PdP dalam talian bagi dua program asasi

UMS laksana MSM, PdP dalam talian bagi dua program asasi

2 tahun terajui LPKP Sabah, Vivian bangga pelbagai pembaharuan berjaya dilaksana

2 tahun terajui LPKP Sabah, Vivian bangga pelbagai pembaharuan berjaya dilaksana