Israel rancang perluas 70 peratus wilayah Gaza, garisan kuning kian menghimpit

RANCANGAN Israel untuk meluaskan penguasaan ketenteraannya sehingga merangkumi 70 peratus wilayah Gaza mencetuskan kebimbangan mendalam dalam kalangan warga Palestin yang menyifatkan zon perlindungan sivik kini semakin mengecil dan tidak lagi selamat untuk didiami.

Situasi itu dilaporkan menjadi semakin kritikal bagi penduduk yang tinggal berhampiran ‘garisan kuning’ iaitu sempadan pemisah antara kawasan kawalan tentera rejim di timur Gaza dengan zon pergerakan terhad sivik di bahagian barat, lapor Anadolu.

Khamis lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, secara terbuka mengakui bahawa angkatan tenteranya kini menguasai kira-kira 60 peratus wilayah Gaza dan mendedahkan pelan untuk meluaskan penguasaan tersebut kepada 70 peratus.

Sejak 20 Oktober tahun lalu, rejim Zionis mula menempatkan blok konkrit berwarna kuning di sepanjang sempadan berkenaan. Garisan itu mula terbentuk susulan pengunduran awal tentera Israel dari beberapa bahagian di Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa awal bulan yang sama.

Tiada lagi pilihan untuk bertahan

Bagi penduduk yang menetap berhampiran sempadan terbabit di timur Khan Younis, kehadiran kereta kebal, jentolak serta siri tembakan harian oleh tentera Israel telah mengubah kehidupan mereka menjadi medan perjuangan untuk kelangsungan hidup.

“Tiada lagi tempat untuk kami pergi. Rakyat Palestin kini terperangkap dalam kawasan yang terlampau kecil,” luah seorang penduduk tempatan, Abdullah al-Astal, kepada agensi berita Anadolu.

Al-Astal menambah, kereta kebal Israel sering mengiringi jentolak untuk merobohkan rumah-rumah berhampiran, manakala tembakan daripada kenderaan tentera serta dron rejim hampir tidak pernah berhenti.

“Pada bila-bila masa sahaja kami boleh ditembak atau terkorban,” katanya sambil menunjuk ke arah rumah jiran-jirannya yang cedera akibat tembakan tentera Israel.

Ratusan ribu pelarian Palestin kini bimbang sekiranya garisan sempadan itu terus dianjur ke barat, mereka akan terus terhimpit di dalam zon yang semakin sempit dan sesak selepas berkali-kali dipaksa berpindah.

Dakwa Israel mahu kuasai seluruh Gaza

Kebimbangan yang sama turut disuarakan oleh Hamdi Malaka, seorang penduduk di kawasan kejiranan Zeitoun di Bandar Raya Gaza.

“Sekiranya mereka mahu menduduki keseluruhan Gaza, mereka patut menyatakannya dengan jelas dan bukannya berselindung di sebalik istilah ‘garisan kuning’ atau ‘garisan merah’,” katanya.

Malaka menjelaskan bahawa kawasan kejiranannya telah pun mengalami kemusnahan skala besar sepanjang peperangan dengan runtuhan rumah dan sisa sisa bangunan mengepung kawasan kediaman penduduk.

“Kedudukan kami sudah pun terlalu dekat dengan garisan kuning ini. Jika ia digerakkan lagi, kami akhirnya akan berada di dalam kawasan kawalan tentera mereka,” katanya.

Ketika ini, sebahagian besar rakyat Palestin terus bertahan di kem pelarian yang amat sesak selain terpaksa berdepan krisis kekurangan makanan, air bersih serta lumpuhnya sistem perkhidmatan kesihatan.

Minggu lalu, kumpulan pejuang Palestin, Hamas, menggesa “Majlis Keamanan” untuk mengambil pendirian tegas dan jelas berhubung kenyataan rasmi Israel yang mahu menguasai 70 peratus wilayah enklaf tersebut.

Kempen ketenteraan dan genosid Israel di Gaza sejak Oktober 2023 dilaporkan telah mengorbankan hampir 73,000 rakyat Palestin manakala lebih 173,000 lagi cedera, dengan majoriti mangsa melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak.

Meskipun perjanjian gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan tentera Israel tetap melancarkan serangan hampir setiap hari yang telah mengorbankan 947 warga Palestin serta mencederakan 2,935 yang lain setakat ini.

Related Posts

Trump dakwa lulus cemerlang ujian kognitif

MOSCOW – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan dia menjalani peperiksaan kognitif tanpa sebarang kesilapan buat kali keempat dan mencatatkan keputusan yang sangat cemerlang. “Keputusan Pemeriksaan Fizikal saya di…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bekalan minyak dunia kritikal jika Selat Hormuz tidak dibuka

WASHINGTON – Tahap keselamatan bekalan bahan api sepanjang musim panas yang menyaksikan permintaan memuncak dijangka berdepan risiko, jika penghantarannya melalui Selat Hormuz tidak kembali beroperasi seperti biasa. Amaran terbabit dikeluarkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Penyelia, juru ukur kanan syarikat lombong emas tidak mengaku salah ceroboh tanah

Penyelia, juru ukur kanan syarikat lombong emas tidak mengaku salah ceroboh tanah

Anwar tegaskan kemajuan teknologi perlu berteraskan nilai dan akhlak

Anwar tegaskan kemajuan teknologi perlu berteraskan nilai dan akhlak

Anwar dijangka lancar jentera PH Johor malam esok, himpun kekuatan PRN Ke-16

Anwar dijangka lancar jentera PH Johor malam esok, himpun kekuatan PRN Ke-16

Israel rancang perluas 70 peratus wilayah Gaza, garisan kuning kian menghimpit

  • By Siti
  • June 5, 2026
Israel rancang perluas 70 peratus wilayah Gaza, garisan kuning kian menghimpit

8 cedera Vellfire terbabas dekat Bukit Tajau

8 cedera Vellfire terbabas dekat Bukit Tajau

Permohonan Kem But Pra-Pemecut TEGAS (TPAB) 2026 kini dibuka

Permohonan Kem But Pra-Pemecut TEGAS (TPAB) 2026 kini dibuka