Onn Hafiz dapat perkenan Pemangku Sultan, DUN Johor dibubar serta-merta

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pengumuman itu dibuat pada jam 5 petang di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana, Johor Bahru dengan dihadiri barisan Exco Kerajaan Negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Menurut Onn Hafiz, keputusan pembubaran DUN dibuat selepas beliau menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada Isnin bagi mendapatkan perkenan baginda.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada hari ini, 1 Jun 2026.

“Sehubungan itu, atas titah perkenan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, watikah pembubaran Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim yang ke-15 telah diperkenankan berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 iaitu pada hari ini,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pembubaran tersebut dibuat selaras dengan peruntukan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Menurut beliau, langkah itu bertujuan memberi laluan kepada proses demokrasi menerusi pilihan raya negeri yang akan ditetapkan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Keputusan ini dibuat dengan niat untuk memastikan rakyat Bangsa Johor terus memiliki sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh,” katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut menyeru semua parti politik, pemimpin dan penyokong agar menghadapi proses pilihan raya dengan penuh adab, tertib dan berhemah demi memastikan keharmonian serta kestabilan negeri terus terpelihara.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, BN memperoleh kemenangan besar apabila memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan sekali gus membentuk kerajaan negeri.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan AMANAH masing-masing satu kerusi. Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi, sementara Muda memperoleh satu kerusi.

Sebelum pengumuman pembubaran dibuat, timbul spekulasi mengenai kemungkinan DUN Johor dibubarkan selepas ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung mendedahkan notis mesyuarat memanggil semua ADUN menghadiri sidang DUN pada 22 Jun ini.

Beliau mempersoalkan tujuan sidang tersebut yang dijadualkan berlangsung hanya sehari selain notis berkenaan turut menyatakan tiada sebarang usul atau soalan diterima, sekali gus mencetuskan pelbagai tanda tanya mengenai hala tuju pentadbiran negeri.

Dengan pembubaran rasmi DUN Johor, tumpuan kini terarah kepada pengumuman SPR berhubung tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian bagi menentukan mandat baharu kerajaan negeri Johor untuk tempoh lima tahun akan datang.

Related Posts

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

TENOM – Program kebun sekolah yang bertujuan memupuk kesedaran terhadap keterjaminan makanan serta keusahawanan pertanian dalam kalangan pelajar dijangka diperluaskan secara besar-besaran di seluruh Sabah bermula tahun hadapan. Menteri Pertanian,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag menghadiri Majlis Kesyukuran Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Doa Awal Tahun Baharu Hijrah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Jangan manipulasi fakta!

Jangan manipulasi fakta!

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi