Penyelidik UMS sahkan penemuan tumbuhan misteri di Tawau sebagai spesies baharu

KOTA KINABALU – Satu spesimen tumbuhan misteri yang ditemui di Taman Bukit Tawau pada 2014 akhirnya disahkan sebagai spesies baharu oleh penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) selepas tersimpan tanpa identiti di herbarium selama 12 tahun sebelum status saingifiknya berjaya dirungkai.

Menurut kenyataan daripada Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), UMS, spesies baharu tersebut dikenali sebagai Ardisia condensiflora telah diterbitkan secara rasmi pada 26 Mei lepas dalam jurnal taksonomi botani antarabangsa, Phytotaxa (Vol. 758, No. 3).

“Penemuan dan pengesahan spesies tersebut dilakukan oleh penyelidik Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), UMS, Dr. Avelinah Julius bersama-sama Dr. Timothy M.A. Utteridge dari Singapore Botanic Gardens dan IBTP, UMS.

“Tumbuhan itu ditemukan di kawasan hutan dipterokarpa pamah campuran yang teduh serta di sepanjang tebing sungai dalam kawasan perlindungan Taman Bukit Tawau.

“Bagi mengesahkan status spesies itu, kajian taksonomi dan herbarium secara mendalam dijalankan menggunakan spesimen yang dipinjamkan daripada Herbarium Taman Sabah.

“Proses tersebut sekali gus membuktikan kepentingan koleksi herbarium dan kerjasama institusi secara berterusan dalam usaha merekodkan biodiversiti yang masih tersembunyi,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan berkenaan, hasil kajian mendapati Ardisia condensiflora setakat ini hanya ditemui di Taman Bukit Tawau, sekali gus menjadikannya spesies endemik Sabah.

“Berdasarkan hanya dua rekod koleksi yang ditemui, spesies nadir itu dinilai secara awal sebagai Rentan (Vulnerable – VU D2) mengikut kriteria Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) berikutan taburan habitat yang sangat terhad, namun belum menerima penyenaraian rasmi badan berkenaan.

Dalam pada itu, Avelinah berkata, penemuan tersebut menjadi peringatan bahawa Borneo masih menyimpan banyak spesies yang belum direkodkan oleh sains.

“Penerokaan saintifik, penyelidikan herbarium dan usaha pemuliharaan berterusan amat penting bagi memastikan spesies-spesies ini tidak pupus sebelum sempat dikenali,” katanya.

Untuk rekod, sejak 2017, Avelinah telah menyumbang kepada penemuan dan pengesahan sekurang-kurangnya lima spesies baharu Ardisia di rantau ini.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk D. Kasim Mansor berkata hutan Sabah kekal menjadi antara ‘makmal hidup’ paling berharga di dunia.

“Penemuan seperti ini membuktikan masih banyak lagi yang perlu diterokai, didokumentasikan dan dilindungi,” katanya.

Tambah kenyataan tersebut, penerbitan berkenaan merupakan antara hasil kerjasama melalui Surat Niat (LoI) antara UMS dan Singapore Botanic Gardens serta sokongan penyelidikan berterusan daripada Taman Sabah menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama IBTP, UMS.

Related Posts

Sebuah SUV terjunam dalam lombong, tiada mangsa ditemukan

IPOH – Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis BMW X5 yang ditemukan terjunam ke dalam sebuah lombong berhampiran Klinik Desa Kampung Sungai Terap, Batu Gajah, malam Rabu, disahkan tidak melibatkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Presiden PRBS mengaku tidak salah guna jawatan libatkan peruntukan RM2 juta

KOTA KINABALU – Presiden Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PRBS), Makinsos Nawai, 67, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mendapatkan peruntukan pembinaan Dewan Kebudayaan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pengundi Negeri Sembilan tolak retorik politik, pilih kesinambungan pentadbiran PH

Pengundi Negeri Sembilan tolak retorik politik, pilih kesinambungan pentadbiran PH

Laporan RCI TH perlu didedah segera, rakyat ada hak tahu kebenaran

Laporan RCI TH perlu didedah segera, rakyat ada hak tahu kebenaran

PH tawar kestabilan, BN masih cari formula kemenangan – Ustaz Shahir

PH tawar kestabilan, BN masih cari formula kemenangan – Ustaz Shahir

TH raih dua anugerah berprestij pengurusan hartanah

TH raih dua anugerah berprestij pengurusan hartanah

BN tidak pernah berubah, kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal – Ahmad Zahid

BN tidak pernah berubah, kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal – Ahmad Zahid

Pas gunakan penyatuan Melayu untuk dapatkan kuasa – Faiz Fadzil

Pas gunakan penyatuan Melayu untuk dapatkan kuasa – Faiz Fadzil