
LAHAD DATU – Dalam usaha membina masyarakat yang inklusif dan saling memahami, peranan seorang warga pendidik atau guru khususnya yang mahir dalam bahasa isyarat semakin signifikan sebagai penghubung antara komuniti pekak dan masyarakat umum.
Golongan pendidik ini bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi ikhlas tampil menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan golongan itu tidak terus terpinggir dalam arus pendidikan dan sosial.
Berbekalkan minat mendalam terhadap bahasa isyarat, seorang Ketua Guru Pusat Jagaan Persatuan Bagi Orang-orang Pekak Sabah Cawangan Lahad Datu (SSDLD), Siti Asmah Norhamad memilih laluan ini sebagai satu bentuk sumbangan kepada komuniti yang sering berdepan cabaran komunikasi.
Dia berkata, kesedaran bahawa halangan terbesar yang dihadapi oleh komuniti pekak iaitu komunikasi telah menguatkan lagi tekadnya untuk terus berkhidmat bersama komuniti istimewa itu.
“Bahasa isyarat adalah salah satu bahasa yang digunakan oleh orang pekak ataupun orang yang mempunyai masalah pertuturan.
“Sama dengan bahasa pertuturan (lisan) juga fungsi bahasa isyarat adalah komunikasi.
“Sekiranya masyarakat dapat menggunakan bahasa isyarat dalam komunikasi maka tiadalah jurang penghalang komunikasi,” katanya kepada wartawan The Malaysia Press.

Cabaran besar didik komuniti pekak
Menurut Asmah, isu pendidikan dalam kalangan komuniti pekak masih berdepan pelbagai cabaran khususnya melibatkan peranan dan kesedaran ibu bapa.
Katanya, keadaan ini boleh memberi kesan kepada perkembangan bahasa dan komunikasi anak-anak pekak, sekali gus menghalang mereka untuk belajar dengan lebih efektif.
“Antara cabaran utama yang sering dibangkitkan ialah sikap segelintir ibu bapa yang tidak menghantar anak ke sekolah, sekali gus menjejaskan peluang anak-anak untuk mendapat pendidikan sewajarnya.
“Terdapat juga ibu bapa yang menghantar anak ke institusi yang kurang sesuai seperti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang tidak menggunakan bahasa isyarat secara betul dan formal sebagai medium pengajaran,” kongsinya.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, dia tidak pernah berputus asa dan sentiasa percaya setiap halangan mempunyai jalan penyelesaian.
Bagi mengatasi perkara itu, beliau mengambil pendekatan proaktif dengan membuktikan bahawa anak-anak pekak mampu belajar dan menjalani kehidupan seperti individu lain.
Selain itu, usaha berterusan dilakukan melalui kempen kesedaran, penganjuran kelas bahasa isyarat serta kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO), Jabatan Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
‘Pelajar tidak boleh belajar tanpa bahasa’
Berpegang kepada moto ‘pelajar tidak boleh belajar tanpa bahasa’, Asmah yang juga Jurubahasa Isyarat sejak 2008 itu menekankan Rancangan Pembelajaran Harian Kebangsaan yang menerapkan bahasa isyarat di SSDLD setiap hari.
“Setiap hari pelajar akan diajar bahasa isyarat dan pembelajaran mata pelajaran lain juga akan diajar menggunakan ‘total communication‘ iaitu bertutur dan berisyarat.
“Di Pusat Jagaan SSDLD turut menggunakan alat bantuan mengajar iaitu ‘Montessori Apparatus‘ kerana ia amat bersesuaian iaitu fokus dan buat.
“Bagi golongan pekak, tangan kami ialah mulut dan mata kami ialah telinga,” jelasnya.
Asmah berkata, perubahan positif dalam diri murid jelas kelihatan selepas mempelajari bahasa isyarat termasuk peningkatan keyakinan diri, keupayaan belajar serta kebebasan meneroka dunia tanpa batas dengan bantuan teknologi.

SSDLD lahir atlet berbakat
Sepanjang perkhidmatan di SSDLD, Asmah berkata, banyak momen berharga dan pelbagai kejayaan membanggakan dirai bersama komuniti itu.
“Ini termasuk menubuhkan kelab Badminton SSDLD yang menjadi pemangkin melahirkan atlet pekak mewakili Malaysia di arena antarabangsa iaitu Pertandingan Badminton Asia Pasifik di Indonesia dan Deaflimpic di Jepun.
“Saya juga bersama-sama belia pekak menyertai Larian Borneo Marathon 10 KM di Kota Kinabalu dan ada bekas pelajar yang berjaya menawan Gunung Kinabalu.
“Dan yang paling mengharukan melihat bekas pelajar bekerja, berumahtangga dan hidup dengan baik,” ujarnya yang turut diberi sokongan padu oleh keluarga menerusi Kumpulan Sokongan Keluarga SSDLD.
Sempena sambutan Hari Guru, dia turut menitipkan pesanan kepada semua pendidik agar mempelajari bahasa isyarat.
“Belajarlah bahasa isyarat, kerana tanpa bahasa, pelajar tidak akan dapat belajar,” katanya.
Untuk rekod, SSDLD ditubuhkan pada 9 November 2006 dan dirasmikan Jornah Mozihim yang ketika itu menjawat jawatan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah.
Persatuan ini merupakan NGO beralamat di Taman Harapan, No 35 MDLD 1500 Lahad Datu.





