Sabah perlu pakar perkembangan pediatrik bantu kanak-kanak autisme

KOTA KINABALU – Sabah yang mempunyai hampir empat juta penduduk ketika ini masih berdepan kekurangan kritikal pakar perkembangan pediatrik tetap bagi membantu proses diagnosis dan intervensi kanak-kanak autisme di negeri itu.

Keadaan tersebut bukan sahaja menjejaskan akses rawatan awal, malah menyebabkan ramai ibu bapa terpaksa membawa anak mendapatkan penilaian serta rawatan di Semenanjung Malaysia termasuk di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

Tekanan kepada keluarga

Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah, Dr. Brandon Patrick Senagang berkata, ketiadaan pakar tetap di Sabah memberi tekanan besar kepada keluarga terutama yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menurut beliau, kos perjalanan, penginapan serta tempoh menunggu yang panjang menjadi cabaran utama buat ibu bapa yang mahu mendapatkan diagnosis tepat untuk anak mereka.

“Sabah ketika ini tidak mempunyai seorang pun pakar perkembangan pediatrik tetap yang benar-benar boleh dianggap milik negeri ini sendiri.

“Di peringkat nasional pula, kurang daripada 20 pakar pediatrik perkembangan berdaftar dalam Daftar Pakar Kebangsaan untuk berkhidmat kepada lebih 33 juta rakyat,” katanya pada Seminar Pendidikan Autisme 2026 di Gleneagles Hospital, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Kes autisme meningkat mendadak

Menurut Brandon, peningkatan jumlah kanak-kanak autisme di Malaysia kini semakin membimbangkan apabila statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan kes berdaftar meningkat daripada 6,991 pada tahun 2013 kepada lebih 53,000 kes pada 2023.

Jumlah itu terus meningkat kepada hampir 59,000 kes menjelang penghujung tahun lalu.

Beliau berkata, kadar prevalens autisme dalam kalangan kanak-kanak usia persekolahan di Malaysia juga meningkat ketara daripada 6.34 bagi setiap 1,000 kanak-kanak pada 2018 kepada 9.29 bagi setiap 1,000 kanak-kanak pada 2022.

Katanya, peningkatan kes itu sewajarnya disusuli dengan penambahan tenaga pakar dan kemudahan intervensi awal khususnya di Sabah yang mempunyai kawasan geografi luas serta cabaran akses kesihatan.

Diagnosis lambat jejaskan perkembangan anak

Brandon yang juga Pakar Pediatrik dan Timbalan Ketua Jabatan Hospital Duchess of Kent berkata, kebanyakan ibu bapa di Sabah mula menyedari perbezaan perkembangan anak sekitar usia dua tahun.

Bagaimanapun katanya, diagnosis rasmi lazimnya hanya diperoleh apabila kanak-kanak menghampiri usia empat tahun akibat kekurangan pakar dan tempoh menunggu yang panjang.

“Bagi seorang kanak-kanak autisme, setiap bulan amat penting, diagnosis awal bermakna intervensi awal dan intervensi awal membawa hasil yang lebih baik dari segi komunikasi, tingkah laku, kebebasan diri serta kualiti hidup.

“Kelewatan mendapatkan diagnosis boleh menjejaskan peluang kanak-kanak untuk menerima terapi dan sokongan pendidikan pada peringkat awal perkembangan,” jelasnya.

Latihan dan penempatan pakar pediatrik

Sehubungan itu, Brandon menyaran kepada kerajaan untuk memberi keutamaan terhadap latihan dan penempatan pakar pediatrik perkembangan khusus untuk Sabah.

Katanya, jawatan khas bagi latihan subkepakaran pediatrik perkembangan perlu diwujudkan dengan syarat ikatan perkhidmatan kembali ke Sabah supaya pakar yang dilatih dapat terus berkhidmat di negeri ini.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar perkhidmatan telekesihatan dan penilaian perkembangan secara maya diperluaskan bagi membantu keluarga di daerah seperti Keningau, Tawau dan Sandakan mendapatkan khidmat nasihat tanpa perlu menanggung kos perjalanan tinggi.

Brandon turut menyeru kerajaan Sabah untuk melabur dalam infrastruktur sokongan autisme termasuk penubuhan pusat intervensi awal di peringkat daerah, penambahan guru pendidikan khas terlatih serta pengukuhan program pemulihan komuniti.

Mereka perlukan sokongan, bukan simpati

Dalam pada itu, Brandon turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, penjaga dan guru yang tidak pernah berputus asa membantu perkembangan kanak-kanak autisme.

Katanya, masyarakat perlu melihat autisme dengan lebih terbuka dan memahami bahawa golongan itu mempunyai potensi besar sekiranya diberikan sokongan sewajarnya.

“Kanak-kanak autisme tidak memerlukan simpati kita. Mereka memerlukan kefahaman, kesabaran, sokongan dan tindakan kita.

“Mereka mampu mencapai perkara luar biasa apabila diberikan persekitaran, sokongan dan individu yang mempercayai mereka,” katanya.

Sokongan kerajaan

Sementara itu, dalam program berasingan, Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, kerajaan telah mewujudkan Pusat Autisme Sabah (PAUS) dan ia semakin mendapat sambutan, khususnya di Pantai Timur Sabah dengan pusat sedia ada di Tawau yang menempatkan lebih 30 pelajar.

“Kita sangat terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu membuka francais PAUS terutama di kawasan luar bandar yang mempunyai keperluan tinggi terhadap pendidikan dan penjagaan kanak-kanak autisme.

“Selain membantu keluarga, ia juga boleh menjana ekonomi serta membuka peluang pekerjaan dalam bidang penjagaan kanak-kanak berkeperluan khas,” katanya dalam Seminar Kesedaran dan Pemerkasaan Autisme Peringkat Daerah Kunak, baru-baru ini.

Latihan dan bantuan kerajaan

Rina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan berkata, kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sabah turut menyediakan latihan serta merekrut tenaga pengajar dan sukarelawan bagi memperkukuh perkhidmatan sokongan kepada kanak-kanak autisme.

Tambahnya, peluang latihan turut dibuka kepada orang awam yang berminat untuk menceburi bidang penjagaan dan kerja sosial melalui kursus jangka pendek yang disediakan.

“Ini penting kerana keperluan tenaga mahir dalam bidang ini semakin meningkat, kita juga mahu lebih ramai masyarakat terlibat sebagai sukarelawan atau menjadikan bidang ini sebagai kerjaya,” katanya.

Rina turut memaklumkan, kerajaan negeri menyediakan subsidi RM350 kepada kanak-kanak autisme daripada keluarga B40 yang layak bagi meringankan beban kewangan keluarga.

Related Posts

Siti Asmah jadi jambatan komunikasi, pemangkin masyarakat inklusif

LAHAD DATU – Dalam usaha membina masyarakat yang inklusif dan saling memahami, peranan seorang warga pendidik atau guru khususnya yang mahir dalam bahasa isyarat semakin signifikan sebagai penghubung antara komuniti…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Aidiladha semarak syiar Islam, kukuh nilai pengorbanan – Raja Muda Perlis

ARAU – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah sambutan Aidiladha perlu terus disemarakkan dengan syiar Islam bagi memperkukuhkan penghayatan nilai keikhlasan, ketaatan dan semangat pengorbanan dalam kehidupan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sabah perlu pakar perkembangan pediatrik bantu kanak-kanak autisme

  • By Ynom
  • May 27, 2026
Sabah perlu pakar perkembangan pediatrik bantu kanak-kanak autisme

Hayati semangat Aidiladha, dua beradik pilih sertai sukarelawan korban

Hayati semangat Aidiladha, dua beradik pilih sertai sukarelawan korban

Siti Asmah jadi jambatan komunikasi, pemangkin masyarakat inklusif

Siti Asmah jadi jambatan komunikasi, pemangkin masyarakat inklusif

Budaya tohmah, fitnah wabak sosial perlu dihapus

Budaya tohmah, fitnah wabak sosial perlu dihapus

Permintaan korban cecah RM350 juta cerminan ekonomi domestik masih kukuh

Permintaan korban cecah RM350 juta cerminan ekonomi domestik masih kukuh

Pasukan takraw Malaysia kini kembali mengaum di dunia sukan

Pasukan takraw Malaysia kini kembali mengaum di dunia sukan