89 65 66 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 39 32 83 101 114 105 32 65 110 119 97 114 32 73 98 114 97 104 105 109 32 109 101 109 112 101 110 103 101 114 117 115 105 107 97 110 32 77 101 115 121 117 97 114 97 116 32 77 97 106 108 105 115 32 84 105 110 100 97 107 97 110 32 69 107 111 110 111 109 105 32 78 101 103 97 114 97 32 66 105 108 46 49 50 47 50 48 50 54 32 100 105 32 80 117 116 114 97 106 97 121 97 46 32 50 53 32 77 101 105 32 50 48 50 54 46 32 65 77 73 82 32
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI: BUDI Agri-Komoditi secara bersasar sebagai langkah membantu pekebun kecil, pengusaha serta golongan rentan menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan hari ini.
Menurut beliau, kerajaan mengambil kira tekanan kenaikan kos dan ketidaktentuan ekonomi global yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat serta sektor ekonomi domestik.
“Kerajaan MADANI memahami denyut nadi rakyat yang sedang berdepan tekanan kenaikan kos dan ketidaktentuan ekonomi dunia.
“Atas pertimbangan itu, kerajaan bersetuju meneruskan inisiatif BUDI MADANI: BUDI Agri-Komoditi secara bersasar demi membantu pekebun kecil, pengusaha dan golongan rentan yang menjadi tulang belakang ekonomi negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam mesyuarat sama, kerajaan turut menerima pembentangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkaitan kesan krisis rantaian bekalan global terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Mengulas mengenai situasi bekalan ubat, Anwar berkata, keadaan semasa masih terkawal dan berada pada tahap stabil.
“KKM akan terus memantau secara rapi sebarang cabaran rantaian bekalan dan harga ubat bagi memastikan rakyat tidak menjadi mangsa keadaan.
“Apa jua cabaran yang mendatang, Kerajaan MADANI akan terus bekerja keras, bertindak dengan ihsan dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan negara,” katanya.
