PKR Perak mahu Anwar kekal pertahan Tambun pada PRU16

IPOH – Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus dianggap aset penting di Perak apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri menyuarakan harapan agar Perdana Menteri itu kekal mempertahankan kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, kehadiran Presiden PKR itu di negeri berkenaan masih amat diperlukan bagi memperkukuh kedudukan Pakatan Harapan (PH) serta membantu parti memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya akan datang.

Menurut beliau, setakat ini pihaknya mengandaikan tiada perubahan melibatkan kerusi yang bakal ditandingi Anwar.

“Walaupun masih terlalu awal untuk diputuskan, berdasarkan pengalaman sebelum ini, Anwar lazimnya membuat keputusan mengenai kerusi pilihan raya kira-kira dua atau tiga bulan sebelum PRU berlangsung.

“Namun, PKR Perak tetap berharap beliau terus kekal di Tambun kerana pengaruh dan kepimpinan beliau amat penting untuk membantu kami meraih kemenangan lebih besar pada PRU16 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hi-Tea bersama pengamal media Perak serta perasmian ibu pejabat baharu PKR Perak di Meru, di sini, pada Sabtu.

Pada PRU15 lalu, Anwar memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 3,736 undi selepas memperoleh 49,625 undi.

Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional, Ahmad Faizal Azumu yang meraih 45,889 undi, selain calon Barisan Nasional, Aminuddin Md Hanafiah (28,140 undi) dan PEJUANG menerusi calonnya, Abdul Rahim Tahir yang memperoleh 1,115 undi.

Sementara itu, mengulas spekulasi pergolakan dalaman parti susulan beberapa peletakan jawatan membabitkan pimpinan cabang, Mohamad Hairul menegaskan situasi itu tidak menjejaskan kestabilan keseluruhan PKR Perak.

Beliau turut menafikan dakwaan berlaku penghijrahan besar-besaran ahli PKR di negeri ini termasuk dikaitkan dengan kemunculan platform politik baharu.

“Setakat ini tiada pembabitan pemimpin kanan atau ketua cabang. Jumlah yang terlibat juga sangat kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan keahlian PKR Perak yang melebihi 100,000 orang,” katanya.

Tambah beliau, PKR Perak kekal memberikan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Anwar selaku Presiden parti dan Perdana Menteri.

“Beliau memimpin parti serta negara dengan penuh kebijaksanaan, demokratik dan tenang dalam menghadapi landskap politik yang semakin mencabar dan dinamik.

“PKR Perak kekal teguh serta stabil walaupun terdapat segelintir anggota meninggalkan parti.

“Patah tumbuh, hilang berganti dan kami akan terus meneruskan perjuangan reformasi dengan penuh istiqamah demi memastikan aspirasi perjuangan parti terus diperkasakan,” tegasnya.

Related Posts

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

TENOM – Program kebun sekolah yang bertujuan memupuk kesedaran terhadap keterjaminan makanan serta keusahawanan pertanian dalam kalangan pelajar dijangka diperluaskan secara besar-besaran di seluruh Sabah bermula tahun hadapan. Menteri Pertanian,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag menghadiri Majlis Kesyukuran Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Doa Awal Tahun Baharu Hijrah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Jangan manipulasi fakta!

Jangan manipulasi fakta!

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi