Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi diperluas seluruh negara mulai 1 Jun

KUNDASANG – Kerajaan menambah baik mekanisme pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) termasuk memperluaskan kelayakan kenderaan jenis jip dan pikap bagi sektor pengangkutan darat barangan ke seluruh negara berkuat kuasa 1 Jun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mei lalu bagi memastikan penyaluran subsidi diesel lebih bersasar serta mengurangkan ketirisan.

“Peluasan kelayakan bagi kenderaan jenis jip dan pikap di bawah SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan ke seluruh negara berbanding hanya untuk kawasan Cameron Highlands sebelum ini.

“Sehubungan itu, syarikat-syarikat sektor pengangkutan darat barangan di seluruh negara yang memiliki kenderaan jip dan pikap boleh mula membuat pendaftaran SKDS berkuat kuasa 1 Jun 2026,” katanya dalam sidang media di sini, pada Sabtu.

Menurut Armizan, peluasan manfaat subsidi diesel melalui SKDS kepada kenderaan jip dan pikap bagi tujuan penggunaan pengangkutan darat barangan yang sebelum ini didaftarkan atas nama individu, tertakluk kepada kelulusan perubahan pendaftaran kenderaan atas nama syarikat.

“Pengguna individu yang terlibat dalam aktiviti pengangkutan darat barangan digalakkan membuat pendaftaran syarikat dan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan pendaftaran perniagaan di Sabah dan Sarawak pula adalah melalui pihak berkuasa yang ditetapkan mengikut undang-undang negeri.

“Pemohon juga perlu memenuhi syarat-syarat kelayakan lain seperti memindahkan hak milik kenderaan daripada kategori individu kepada syarikat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” jelasnya.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, pelarasan had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan adalah bagi memperkukuh mekanisme kawal selia dan penguatkuasaan mengekang ketirisan subsidi dan penyalahgunaan fleet card.

“Setiap fleet card akan mempunyai kuota tetap di antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan, tertakluk kepada had kuota yang ditetapkan bagi setiap 23 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan.

“Jumlah had kuota ini ditetapkan berpandukan analisa penggunaan jenis pengangkutan dalam dua tahun terkini tempoh pelaksanaan SKDS dan pelarasan kadar kuota tetap bagi setiap fleet card akan berkuat kuasa pada 1 Jun 2026,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang permohonan rayuan pertambahan kuota SKDS boleh dibuat secara fizikal dan dalam talian.

“Sebarang permohonan pertimbangan rayuan pertambahan kuota tetap bagi penggunaan melebihi had boleh dibuat kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP) yang diurus setia oleh KPDN.

“Permohonan rayuan boleh dikemukakan secara dalam talian melalui e-mel mysubsidi@kpdn.gov.my atau secara fizikal di kaunter KPDN berhampiran.

“Pertimbangan akan diteliti mengambil kira justifikasi keperluan sebenar operasi dan rekod penggunaan bulanan sedia ada dalam sistem SKDS sepanjang tempoh bermulanya kelulusan pendaftaran bagi kenderaan yang terlibat,” jelasnya.

Tambah Armizan, KPDN turut menggalakkan syarikat-syarikat sektor pengangkutan darat awam, sektor pengangkutan darat barangan dan sektor pengangkutan awam air yang belum memanfaatkan subsidi petrol dan diesel untuk membuat pendaftaran SKPS dan SKDS.

“Kaedah permohonan dan syarat-syarat kelayakan boleh disemak melalui portal MySubsidi di pautan mysubsidi.kpdn.gov.my.

“Pada masa yang sama, semua syarikat yang telah berdaftar dan mendapat manfaat subsidi bahan api melalui SKPS dan SKDS diingatkan agar bertanggungjawab terhadap setiap fleet card yang diperolehi melalui syarikat-syarikat minyak.

“Sebarang penyalahgunaan akan berhadapan dengan penggantungan fleet card secara serta-merta dan syarikat yang terlibat akan disenarai hitam,” tegasnya.

Related Posts

MTEN perkukuh persediaan negara berdepan El Nino

KUALA LUMPUR – Usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi fenomena El Nino perlu diberi keutamaan kerana tindakan pencegahan dan persediaan rapi mampu mengurangkan impak cuaca ekstrem yang semakin sukar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Malaysia, Turkmenistan perluas kerjasama strategik bagi jamin bekalan tenaga

KUALA LUMPUR – Malaysia terus mempergiat usaha memperkukuh keselamatan tenaga negara melalui beberapa kerjasama strategik di peringkat antarabangsa, termasuk perjanjian hidrokarbon jangka panjang dengan Turkmenistan yang dijangka dimeterai pada 19…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MTEN perkukuh persediaan negara berdepan El Nino

MTEN perkukuh persediaan negara berdepan El Nino

SBST Sabah terima reaksi positif pelbagai pihak – Vivian

SBST Sabah terima reaksi positif pelbagai pihak – Vivian

Malaysia, Turkmenistan perluas kerjasama strategik bagi jamin bekalan tenaga

Malaysia, Turkmenistan perluas kerjasama strategik bagi jamin bekalan tenaga

Jabatan Pertanian Perak perkasa wanita dalam sektor pertanian

Jabatan Pertanian Perak perkasa wanita dalam sektor pertanian

KDN tegaskan DPP bukan laluan peroleh kewarganegaraan atau PR

KDN tegaskan DPP bukan laluan peroleh kewarganegaraan atau PR

Perikatan Nasional kini jadi rebutan Pas dan Bersatu

Perikatan Nasional kini jadi rebutan Pas dan Bersatu