
PARTI Keadilan Rakyat (PKR) menghormati hak UMNO yang tidak menjemput wakil Pakatan Harapan (PH) ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 dan ia tidak perlu dipersoalkan.
Pengarah Komunikasi PKR, Adam Adli Abdul Halim berkata demikian ketika mengulas keputusan ketiadaan wakil PH pada acara yang berlangsung dari Rabu hingga Sabtu itu.
“Tak apalah, tak dijemput itu bukan urusan kita. Rumah dia, dia nak jemput orang datang, itu hak dia.
“Kita pun tidak ada isu apa-apa. Sama ada dijemput atau tidak dijemput, tidak ada masalah,” katanya, seperti dilaporkan berita tempatan pada Sabtu.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, jemputan kepada Pas dibuat sebagai membalas kunjungan wakil parti berkenaan ke Muktamar Pas ke-72 di Kota Bharu, Kelantan minggu lalu.

Dalam sidang hari ini, UMNO mahu pentadbiran negara kekal dirujuk sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia, selaras dengan perjanjian asal pembentukan kerajaan yang dipersetujui dalam Perkara 18.
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penggunaan gagasan Malaysia MADANI sebagai wawasan atau war cry tidak menjadi persoalan, namun penonjolan istilah ‘Kerajaan MADANI ’ berbanding Kerajaan Perpaduan dilihat tidak selari dengan kesepakatan awal.
Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula berkata, tempoh pemerintahan Kerajaan Perpaduan ketika ini yang melebihi tiga tahun adalah mood terbaik bagi mengadakan pilihan raya.
“Jadi, sama ada nak dibuat atau tidak, itu terpulanglah kerana parti politik akan sentiasa mahu mengambil mandat yang baharu daripada rakyat,” katanya hari ini.





