Agihan BKJ perlu ditambah baik, elak beban kepada warga emas – Chin Tong

ISKANDAR PUTERI – Ahli Parlimen Iskandar Puteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Liew Chin Tong menggesa agar kaedah pengagihan Bantuan Kasih Johor (BKJ) ditambah baik supaya lebih cekap, tersusun dan mesra penerima, khususnya golongan warga emas yang berdepan kesukaran dalam proses penerimaan bantuan.

Menurut beliau, isu yang timbul dalam pelaksanaan BKJ kebelakangan ini menunjukkan terdapat beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri Johor agar bantuan yang disalurkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat tanpa membebankan penerima.

Chin Tong mengemukakan tiga cadangan utama bagi menambah baik pelaksanaan agihan BKJ.

“Cadangan pertama ialah supaya bantuan tunai disalurkan secara terus melalui institusi perbankan atau dikreditkan ke dalam akaun penerima, berbanding kaedah pengagihan secara fizikal di lokasi tertentu.

“Pendekatan ini bukan sahaja lebih selamat malah lebih memudahkan penerima, terutama warga emas, yang tidak perlu hadir ke lokasi khas untuk mengambil wang tunai,” katanya.

Beliau berkongsi pengalaman ketika membantu pelaksanaan bantuan tunai kepada warga emas di Pulau Pinang pada 2009, apabila kerajaan negeri ketika itu beralih daripada pengagihan secara manual kepada sistem pengeluaran melalui cawangan bank sebelum ditambah baik kepada pemindahan terus ke akaun penerima.

Menurutnya, langkah sama boleh dimanfaatkan oleh Kerajaan Negeri Johor dengan menggunakan teknologi sedia ada demi memastikan proses agihan lebih efisien dan mesra rakyat.

“Cadangan kedua pula menekankan supaya warga emas tidak dijadikan sebahagian daripada acara rasmi atau sesi bergambar yang boleh menyebabkan mereka terpaksa menunggu lama sebelum menerima bantuan.

“Ramai penerima terdiri daripada warga emas mempunyai masalah pergerakan serta kekangan pengangkutan, dan mereka tidak sepatutnya dibebankan dengan kehadiran ke lokasi tertentu semata-mata untuk menerima bantuan yang sepatutnya boleh diagihkan dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

Tambahnya, terdapat aduan daripada penduduk yang mendakwa ada penerima terpaksa hadir seawal pagi namun menunggu berjam-jam sebelum proses agihan bermula.

Sehubungan itu, beliau berpandangan pihak penganjur perlu lebih prihatin dan memastikan proses pengagihan dilaksanakan dengan penuh empati serta tidak menyulitkan golongan rentan.

Cadangan ketiga menyentuh soal kelayakan penerima dan ketepatan senarai agihan BKJ.

Menurut Chin Tong, kerajaan negeri perlu memastikan siapa yang benar-benar layak menerima bantuan serta bagaimana kelayakan itu disahkan sebelum sesuatu inisiatif dilaksanakan.

Beliau berkata, antara isu yang dibangkitkan ialah terdapat pasangan warga emas yang sepatutnya layak menerima bantuan namun tidak tersenarai kerana hanya ketua isi rumah direkodkan dalam data kerajaan negeri, sekali gus menyebabkan banyak rayuan terpaksa dibuat.

Katanya, penyelarasan data penerima yang lebih lengkap dan sistematik perlu dilaksanakan bagi mengelakkan keciciran serta memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.

Justeru, beliau berharap pelaksanaan BKJ dapat ditambah baik dari sudut mekanisme pengagihan, ketelusan senarai penerima serta keberkesanan dasar supaya manfaat bantuan benar-benar dapat dirasai oleh rakyat Johor, khususnya warga emas yang memerlukan.

Related Posts

Pembukaan SA Mart di Mahkota Square bantu perluas pasaran produk IKS

KUANTAN – SA Mart Mahkota Square dekat sini, menjadi cawangan pertama SA Mart yang dibuka di negeri Pahang, sekali gus berperanan sebagai platform menghimpunkan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS)…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Status tapak Tabika KEMAS Sungai Assan perlu diselesaikan segera

SIBU – Isu status tapak Tabika KEMAS Sungai Assan perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi membolehkan sebarang perancangan pembangunan dan kerja membaik pulih dilaksanakan pada masa hadapan. Timbalan Menteri Kemajuan Desa…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pembukaan SA Mart di Mahkota Square bantu perluas pasaran produk IKS

Pembukaan SA Mart di Mahkota Square bantu perluas pasaran produk IKS

Status tapak Tabika KEMAS Sungai Assan perlu diselesaikan segera

Status tapak Tabika KEMAS Sungai Assan perlu diselesaikan segera

Reaksi bercampur di Terengganu susulan keputusan tamat kerjasama Bersatu-Pas

Reaksi bercampur di Terengganu susulan keputusan tamat kerjasama Bersatu-Pas

Letupan luar jangka tutup Jalan Kota Bharu-Gua Musang, laluan dibuka semula hari ini

Letupan luar jangka tutup Jalan Kota Bharu-Gua Musang, laluan dibuka semula hari ini

Polis buru suspek bantu siasatan kes tetak di Sundar

Polis buru suspek bantu siasatan kes tetak di Sundar

Struktur haram di Sungai Makau dibina tanpa kelulusan MPKj

Struktur haram di Sungai Makau dibina tanpa kelulusan MPKj