
SHAH ALAM – Selgate Corporation bakal memperluaskan rangkaian perkhidmatan kesihatannya menerusi pembukaan dua cawangan baharu Hospital Pakar Selgate di Sepang dan Setia Alam. Hospital di Sepang dijadual mula beroperasi pada September tahun ini, manakala cawangan Setia Alam pula dijangka dibuka pada Februari 2027.
Menurut laporan Media Selangor, Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Corporation Sdn Bhd, Noor Hisham Mohd Ghouth berkata syarikat mengambil pendekatan berhati-hati dalam pelan pengembangan hospital berikutan cabaran kos operasi dan kekurangan tenaga kerja kesihatan.
“Kami mahu memastikan setiap hospital yang dibuka mempunyai tenaga kerja mencukupi dan mematuhi syarat ditetapkan KKM,” katanya.
Beliau menjelaskan antara cabaran utama industri kesihatan ketika ini ialah kekurangan jururawat, terutama apabila ramai petugas memilih untuk bekerja di luar negara.
Tambahnya, Selgate juga tidak bercadang untuk berkembang terlalu pantas melebihi sasaran semasa iaitu membuka tujuh hospital di seluruh negara menjelang 2030 dengan kapasiti keseluruhan 1,000 katil.
Katanya lagi, fokus utama syarikat ketika ini adalah memperkukuh operasi di Selangor sebelum memperluaskan rangkaian ke seluruh negara dan pasaran antarabangsa.
Sebelum ini, Selgate mencipta pencapaian penting menerusi pembukaan Hospital Pakar Selgate Rawang pada Oktober lalu.





