
TAWAU – Seorang jemaah haji wanita Malaysia berasal dari daerah ini dilaporkan meninggal dunia di Makkah akibat serangan jantung.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan memaklumkan, Allahyarhamah yang berumur 66 tahun merupakan jemaah daripada kumpulan KT82 dan menginap di Hotel Abraj Al-Tayseer di Makkah bersama suaminya sepanjang musim haji tahun ini.
Menurut TH, Allahyarhamah disahkan meninggal dunia di Hospital Saudi German pada 20 Mei pukul 10.50 pagi waktu tempatan akibat serangan jantung.
Dalam kenyataan sama, TH turut memaklumkan seorang lagi jemaah haji lelaki dari Parit Buntar, Perak berumur 64 tahun turut meninggal dunia pada 19 Mei akibat asma yang teruk di Hospital King Faisal, Makkah.
Kedua-dua jenazah kemudian dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan selepas selesai proses dokumentasi sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea, Makkah.
TH turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga kedua-dua Allahyarham dan Allahyarhamah.





