
TAPAH – Perjalanan pulang seorang pemuda berakhir tragedi apabila dia maut selepas motosikal ditunggang dipercayai melanggar seekor lembu dalam kejadian di Kilometer 12, Jalan Tapah-Changkat Petai, di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu, mangsa yang berusia lingkungan 20-an dikatakan sedang menunggang motosikal bersendirian pulang dari tempat kerja menuju ke kediamannya di Sungai Manik.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hashim berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan kesan najis lembu serta kesan geseran di atas jalan di laluan yang dilalui mangsa.
Menurut beliau, pihak polis turut mengesan kerosakan teruk pada bahagian hadapan motosikal mangsa yang dipercayai berlaku akibat pelanggaran tersebut sebelum motosikal itu terbabas.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, setakat ini tiada kesan penglibatan kenderaan lain dikesan di lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-4011222 atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Faizan Ahmad @ Mohammed Razikin di talian 013-2087819.





