
KUCHING – Usaha mengabadikan nama tokoh sukan terkemuka Sarawak, Allahyarham Datuk Mohamad Taha Ariffin pada Stadium Negeri di Petra Jaya yang juga gelanggang rasmi Kuching City FC disifatkan sebagai satu pengiktirafan amat wajar.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganugerahan tersebut bertepatan dengan jasa tokoh berkenaan yang banyak menyumbang kepada perkembangan dan kejayaan bola sepak di negeri ini.
Menurutnya, Allahyarham yang juga pengasas Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) pada 1974 telah memainkan peranan penting dalam membentuk lanskap pembangunan sukan Sarawak.
“Di bawah kepemimpinan beliau, Sarawak mencapai pelbagai kejayaan termasuk menjuarai Piala FA Malaysia pada 1992 serta muncul juara Sukan Malaysia (SUKMA) selama tiga penggal berturut-turut pada 1990, 1992 dan 1994,” katanya.
Susulan daripada itu, Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) menerusi satu kenyataan pada Rabu tampil menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif yang diumumkan oleh pihak kerajaan negeri.
Menurut kenyataan tersebut, IGMS menyifatkan tokoh berkenaan sebagai individu penting dalam merencana pembangunan sukan moden Sarawak menerusi visi dan komitmen tingginya, khususnya dalam meningkatkan mutu pengurusan sukan secara menyeluruh.
“Beliau antara watak penting di sebalik era kegemilangan bola sepak Sarawak ketika era ‘Ngap Sayot’ selain memainkan peranan besar dalam penganjuran SUKMA di Sarawak yang telah melonjakkan nama negeri ini di peringkat kebangsaan.
“Usaha mengabadikan nama Allahyarham pada sebuah mercu tanda sukan ikonik itu bukan sahaja sebagai tanda penghargaan, malah mampu menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda,” jelas kenyataan itu.
Tambah persatuan itu lagi, inisiatif berkenaan secara tidak langsung diyakini mampu menyuntik semangat dalam kalangan atlet dan graduan untuk terus menabur bakti kepada negeri.
Sehubungan itu, Yang Dipertua IGMS turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Sarawak, khususnya Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak serta pihak berkuasa tempatan atas usaha merealisasikan inisiatif murni tersebut.






