TAWAU – Seorang wanita melecur di pergelangan tangan kiri manakala 10 kedai runcit jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan, di sini, awal pagi Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, mangsa berumur 40 tahun itu diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 2.12 pagi sebelum sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan 12 kedai tidak kekal berkeluasan kira-kira 300 x 60 kaki dengan kemusnahan dianggarkan 80 peratus.
“Sebanyak 10 pintu kedai terbakar manakala dua lagi berjaya diselamatkan,” katanya ketika dihubungi, pada Selasa.
Menurut Jemishin, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan empat pancutan dari sumber air jentera tangki serta pili bomba berhampiran lokasi kejadian.
Operasi kemudian tamat 5.12 pagi selepas memastikan kawasan sekitar selamat.


