PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas tindakan segelintir pihak yang memperlekeh kemampuan pelajar tahfiz susulan usaha agensi tersebut mengangkat martabat mereka sebagai golongan profesional termasuk juruterbang.
Beliau meluahkan rasa kecewa terhadap komen negatif di media sosial, khususnya berkaitan inisiatif MARA membuka peluang lebih luas kepada golongan huffaz dalam bidang profesional.
Asyraf Wajdi berkata, pencapaian akademik pelajar di lapan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab membuktikan golongan huffaz mampu cemerlang bukan sahaja dalam bidang agama, malah akademik dan sains
“Apa mereka ingat pelajar-pelajar tahfiz ini cikai-cikai ke? Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 lepas pun menunjukkan lapan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul-Albab yang semua pelajar hafaz 30 Juzuk Al-Quran berada pada kedudukan 20 sekolah terbaik Malaysia.
“Seramai 221 pelajar Huffaz MRSM mendapat semua A dalam mata pelajaran termasuk Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, pada Isnin.
Terdahulu, menerusi hantaran portal berkenaan, beberapa individu meninggalkan komen yang mempertikaikan kemampuan pelajar tahfiz, termasuk mempersoalkan penguasaan mereka dalam subjek Fizik dan Matematik
Pada 16 Mei lalu, Asyraf Wajdi mengumumkan bahawa MARA akan membuka tawaran pembiayaan kepada pelajar baharu yang berminat mengikuti program kadet juruterbang, dengan keutamaan diberikan kepada pelajar tahfiz.
Asyraf Wajdi berkata, MARA akan mengeluarkan iklan berserta syarat kelayakan bagi program berkenaan dalam masa terdekat.
Katanya, syarat minimum untuk mengikuti program itu termasuk pelajar daripada aliran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).






