
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan warga jururawat sebagai tonggak penting dalam sistem kesihatan negara kerana peranan besar mereka dalam memberi rawatan, sokongan dan semangat kepada pesakit.
Sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia hari ini, beliau berkata profesion kejururawatan memerlukan tahap kesabaran, ketahanan mental dan pengorbanan yang tinggi demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata hampir setiap individu pernah menerima jasa dan khidmat jururawat dalam perjalanan kehidupan mereka.
“Sejak lahir ke dunia, antara yang terawal menyambut dan menjaga kita ialah para jururawat. Mereka ada tatkala ibu menahan sakit melahirkan kita, ada mendengar tangisan pertama kita, menjaga ketika kita diuji sakit, dan terus setia berkhidmat menjaga hingga ke penghujung usia kita,” katanya.
Beliau berkata, jururawat bukan sahaja bertanggungjawab menjaga pesakit, malah sering menjadi individu yang menenangkan keadaan ketika ahli keluarga berada dalam kebimbangan dan kesedihan.
Menurutnya, pengalaman serta komitmen tinggi golongan itu turut membantu doktor memberikan rawatan yang lebih berkesan kepada pesakit.
“Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan kalian. Selamat Hari Jururawat Sedunia,” kata beliau.
Hari Jururawat Sedunia disambut pada 12 Mei setiap tahun sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan warga jururawat kepada masyarakat sejagat.





