30,000 pengunjung meriahkan sambutan Minggu Perpaduan Sarawak di Miri

MIRI – Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Zon Sarawak yang berlangsung selama dua hari bermula 9 Mei lalu melabuhkan tirainya pada Ahad dengan penuh meriah apabila berjaya menarik kehadiran lebih 30,000 pengunjung di Boulevard Mall, Miri.

Majlis perasmian penutup sambutan tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Seri Fatimah Abdullah , Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Sarawak dan turut dihadiri Datuk Haslina Abdul Hamid wakil dari Pejabat Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional bersama pemimpin masyarakat, wakil agensi kerajaan serta orang ramai yang hadir bagi memeriahkan program berkenaan.

Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional itu dilihat berjaya mencapai matlamatnya sebagai platform memperkukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum dan budaya di Sarawak menerusi pelbagai aktiviti menarik yang disediakan sepanjang penganjuran.

Sepanjang program berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai persembahan silang budaya yang menampilkan keunikan dan kepelbagaian etnik di Sarawak seperti Melayu, Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu serta masyarakat Cina.

Persembahan tarian tradisional, nyanyian kebudayaan dan demonstrasi adat resam berjaya menceriakan suasana sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih mengenali budaya antara satu sama lain.

Selain itu, sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan yang memfokuskan kepada usaha memperkukuh perpaduan masyarakat, kesejahteraan komuniti dan pembangunan sosial. Pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan termasuk pertandingan, permainan tradisional, sesi pendidikan kenegaraan serta program kekeluargaan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung pelbagai lapisan umur.

Dalam ucapan beliau, Fatimah berkata usaha memupuk perpaduan tidak boleh dipandang ringan kerana keharmonian yang dinikmati rakyat hari ini adalah hasil kerjasama dan toleransi yang telah dibina sejak sekian lama dalam masyarakat majmuk negara ini.

Beliau menegaskan generasi muda perlu terus didedahkan dengan nilai perpaduan, semangat patriotisme dan penghayatan terhadap Rukun Negara agar keharmonian negara dapat dikekalkan dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Kita juga perlu memastikan generasi muda terus didedahkan dengan nilai perpaduan, semangat patriotisme dan penghayatan terhadap Rukun Negara supaya keharmonian yang dinikmati hari ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

“Justeru, nilai faham, hormat, terima dan meraikan yang menjadi asas kepada perpaduan negara perlu terus diperkasakan dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Beliau turut memuji komitmen semua pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan komuniti, sukarelawan dan masyarakat setempat yang telah bekerjasama menjayakan sambutan tersebut sehingga berjaya menarik kehadiran ribuan pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.

Menurut beliau, program seumpama itu penting dalam memperkukuhkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum selain menjadi medium terbaik untuk memupuk semangat kebersamaan, saling menghormati dan toleransi dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, orang ramai yang hadir turut menyifatkan sambutan berkenaan sebagai platform terbaik untuk mendekatkan masyarakat dengan budaya pelbagai etnik di Sarawak selain memberi peluang kepada generasi muda memahami kepentingan perpaduan dalam kehidupan seharian.

Penganjuran Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Zon Sarawak juga dilihat selari dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh integrasi nasional serta membina masyarakat yang lebih harmoni, bersatu padu dan saling menghormati demi kesejahteraan negara.

Related Posts

Pembangunan rendah karbon teras Sabah Maju Jaya 2.0

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri komited memperkukuh agenda pembangunan rendah karbon sebagai strategi utama memacu pertumbuhan ekonomi mampan, meningkatkan daya tahan negeri dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti selaras dengan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
MBSP melarang penjaja niaga di pagar mulai 2027

SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan aktiviti penjajaan dalam lingkungan 40 meter dari pagar sekolah di seluruh Seberang Perai bermula tahun depan. Datuk Bandar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pembangunan rendah karbon teras Sabah Maju Jaya 2.0

Pembangunan rendah karbon teras Sabah Maju Jaya 2.0

MBSP melarang penjaja niaga di pagar mulai 2027

MBSP melarang penjaja niaga di pagar mulai 2027

Kes Haim Hilman: Masyarakat jangan buat spekulasi sembarangan

Kes Haim Hilman: Masyarakat jangan buat spekulasi sembarangan

Polis Saratok tahan ejen loteri awam haram

Polis Saratok tahan ejen loteri awam haram

Pas dan Bersatu berebut guna logo PN, PH ada peluang menang PRN Johor

Pas dan Bersatu berebut guna logo PN, PH ada peluang menang PRN Johor

Pergolakan PN makin jelas, Pas dan Bersatu umum calon berasingan malam ini

Pergolakan PN makin jelas, Pas dan Bersatu umum calon berasingan malam ini