
JERANTUT – Padang Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Jengka 24 bertukar menjadi lautan warna-warni apabila warga sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat berkumpul bagi menjayakan Hari Sukan Tahunan, petang tadi.
Kehadiran Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud, menambah lagi seri majlis tersebut.
Beliau hadir bukan sahaja untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang, malah sebagai tanda sokongan padu komuniti terhadap pembangunan bakat muda di kawasan tanah rancangan itu.
Hari Sukan itu dirasmikan guru besar SK FELDA Jengka 24, Mohamad Banjirudin Ibrahim dan turut dihadiri Pengurus FELDA Jengka 24, Mohd Saiful Muhammad Puzi.
Perbarisan lintas hormat penuh disiplin daripada unit beruniform dan rumah sukan menceriakan lagi kejohanan berkenaan.
Antara acara menjadi tumpuan adalah olahraga kategori 100 meter dan 200 meter selain aksi mencuit hati murid tahap satu yang mengambil bahagian dalam acara dipertandingkan.
Sementara itu, Razak menzahirkan rasa bangga dengan komitmen pihak sekolah dalam menganjurkan aktiviti berkenaan.
“Penganjuran program atau kejohanan ini mampu menyatukan penduduk FELDA Jengka 24.
“Sukan bukan sekadar mengejar pingat, tetapi medium terbaik untuk membentuk disiplin dan jati diri anak-anak kita,” katanya kepada The Malaysia Press.
Beliau juga menekankan pentingnya hubungan akrab antara pihak sekolah dan warga peneroka bagi memastikan kebajikan serta kecemerlangan pendidikan anak-anak sentiasa diberi perhatian.





