284 jemaah haji pertama berlepas, musim haji 1447H bermula

SEPANG – Seramai 284 jemaah haji Malaysia memulakan perjalanan ke Tanah Suci awal pagi ini, sekali gus menandakan pembukaan rasmi musim haji 1447H/2026M.

Kumpulan pertama itu berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4.05 pagi menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050.

Mereka dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di Madinah pada jam 7.50 pagi waktu tempatan (Arab Saudi) pada hari yang sama.

Daripada jumlah keseluruhan, seramai 141 jemaah berlepas dari stesen Alor Setar, Kedah manakala 143 lagi dari stesen Sepang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, beliau bersyukur kerana dapat menyantuni dhuyufurrahman yang menjadi kumpulan terawal berangkat bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.

“Setelah kita merancang dan mengadakan pelbagai inisiatif serta program untuk mempersiapkan jemaah haji kita, Alhamdulillah tahun ini perjalanannya sangat baik.

“Semua jemaah haji melalui satu program yang begitu menyeluruh bukan hanya dari aspek hukum-hakam tetapi juga kesihatan, pemahaman terhadap syariat haji dan sebagainya.

“Jadi, pagi ini kita akan membuat pelepasan kepada 284 jemaah haji kita.

“Alhamdulillah, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Osamah Dakhel R Al-Ahmadi turut serta meraikan pelepasan jemaah haji Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia Ke Tanah Suci Bagi Musim Haji 1447H/2026M di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli; Pengerusi Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan jemaah haji supaya menjaga kesihatan dan keselamatan diri, selain memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah serta mendapatkan maklumat daripada sumber sahih seperti TH.

“Jangan mempercayai berita yang tidak tentu sumbernya. Jangan membuat perkara yang dilarang, yang tidak bersesuaian ketika berada di Tanah Suci.

“Tumpu pada ibadah seperti mana yang telah dipelajari semasa mengikuti kursus haji,” katanya.

Zulkifli berkata, beliau bersama rombongan dijadual berlepas ke Tanah Suci pada 19 Mei ini bagi lawatan kerja, menyantuni jemaah haji Malaysia serta menunaikan ibadah haji.

“Insya-Allah seperti mana dijadualkan saya akan berangkat ke Tanah Suci pada 19 Mei. Saya akan ada pelbagai program, termasuk bertemu jemaah haji kita di Tanah Suci,” katanya.

Penerbangan terakhir yang membawa keseluruhan 31,600 jemaah haji Malaysia dijangka berlangsung pada 20 Mei ini.

Related Posts

Malaysia tetap pertahan prinsip negara walau ada hubungan baik bersama kuasa besar

MUAR – Hubungan baik dengan kuasa besar dunia seperti China dan Amerika Syarikat tidak pernah menghakis pendirian Malaysia dalam mempertahankan prinsip nasional berkaitan isu di peringkat antarabangsa. Perdana Menteri, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Malaysia sambut baik persefahaman AS-Iran demi keamanan Asia Barat

KUALA LUMPUR – Malaysia menyambut baik perkembangan positif hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran susulan persefahaman yang dicapai kedua-dua negara ke arah menamatkan permusuhan di Asia Barat. Perdana Menteri,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kemelut PN: Wujud tekanan agar Bersatu keluar gabungan – Pemerhati politik

Kemelut PN: Wujud tekanan agar Bersatu keluar gabungan – Pemerhati politik

PRN Johor: Abdul Karim tegaskan kehadiran Tiong King Sing tiada kaitan dengan GPS

PRN Johor: Abdul Karim tegaskan kehadiran Tiong King Sing tiada kaitan dengan GPS

Sorok syabu dalam beg silang, lelaki 28 tahun dicekup di Kabong

Sorok syabu dalam beg silang, lelaki 28 tahun dicekup di Kabong

Selangor, Sarawak jalin kerjasama bangunkan industri kreatif

Selangor, Sarawak jalin kerjasama bangunkan industri kreatif

13,000 Rohingya direkodkan di Kelantan, keselamatan negeri terkawal

13,000 Rohingya direkodkan di Kelantan, keselamatan negeri terkawal

324 pesara terima insentif khas RM4,000 daripada Kerajaan Negeri Perak

324 pesara terima insentif khas RM4,000 daripada Kerajaan Negeri Perak