JKR, DOSM nilai impak krisis Asia Barat terhadap kos pembinaan

PUTRAJAYA – Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi menilai kesan konflik di Asia Barat serta krisis tenaga susulan penutupan Selat Hormuz terhadap industri pembinaan negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kerjasama itu membabitkan perkongsian data dan statistik antara DOSM dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk mengenal pasti peratus sebenar kenaikan harga bahan binaan akibat krisis berkenaan.

Beliau berkata, penggunaan data rasmi DOSM adalah penting kerana ia berasaskan kaedah pengiraan yang saintifik dan lebih tepat berbanding anggaran yang dikemukakan oleh pihak industri.

“DOSM ada angka-angkanya, ada kaedah pengiraan dan kadar inflasi yang dibuat oleh DOSM diumum dari semasa ke semasa secara berkala, itu mempunyai kaedah saintifik yang boleh dipercayai dan bukan hanya main agak-agak.

“Persatuan kontraktor ada yang melapor 30 peratus (kesan), ada persatuan kontraktor kata 40 peratus, saya kira itu angka yang tidak tepat.

“Kami terus mendapatkan maklumat kenaikan ini, sebenarnya berapa peratus dan kita telah pun menghubungi CIDB dengan DOSM untuk mendapatkan peratusan kenaikan bahan binaan yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke tapak projek Pusat Aktiviti Setia Perdana, Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Ahmad berkata, penilaian terperinci perlu dilakukan dengan meneliti komponen dalam sektor pembinaan yang benar-benar terkesan akibat krisis tenaga yang berlaku.

Menurutnya, kesan kenaikan kos bahan api adalah berbeza mengikut jenis projek, dengan pembinaan serta penyenggaraan jalan raya menerima impak lebih ketara berbanding projek bangunan.

“Cuma mereka yang membina jalan raya, kontraktor melaporkan pada saya bahawa kenaikan diesel sangat membebankan mereka kerana segala kenderaan dan jentera yang digunakan untuk membina dan menyenggara jalan raya menggunakan minyak diesel.

“Sebaliknya, bagi projek pembinaan bangunan, kesan kenaikan diesel adalah lebih terhad kerana penggunaan bahan api itu tidak begitu tinggi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kenaikan kos dalam sektor pembinaan bukan sahaja berpunca daripada konflik semasa, malah turut dipengaruhi oleh faktor rantaian bekalan sedia ada yang telah menjejaskan harga sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad memaklumkan hanya empat peratus daripada 855 projek di bawah seliaan JKR di seluruh negara dikategorikan sebagai ‘projek sakit’.

Beliau berkata, antara punca utama keadaan itu ialah kelemahan dalam aspek pengurusan projek dan kewangan.

Mengulas mengenai kelewatan projek pembinaan Pusat Aktiviti Setia Perdana yang terletak bersebelahan Puspanitapuri di sini, beliau berkata perkara itu, termasuk status kontraktor, akan ditentukan dalam mesyuarat Panel Penyelarasan Kontrak (CCP) pada 21 April ini.

Katanya, projek bernilai RM19.7 juta itu sepatutnya siap pada Julai 2024, namun kini lewat hampir dua tahun dengan tahap kemajuan semasa sebanyak 75 peratus.

Beliau berkata, kontraktor yang telah diberikan lanjutan masa sebanyak enam kali berkemungkinan ditamatkan selepas mesyuarat CCP berkenaan.

Ahmad menegaskan kementerian tidak menggalakkan pemberian lanjutan masa secara berulang kerana ia mencerminkan masalah pelaksanaan selain berpotensi meningkatkan kos projek.

“Setiap lanjutan masa akan memberi implikasi kos. Jika kontrak ditamatkan, kerajaan perlu melantik kontraktor penyiap melalui tender baharu yang juga melibatkan kos tambahan serta tempoh masa dua hingga tiga bulan,” katanya.

Related Posts

Permohonan dana tambahan projek negeri perlu melalui rundingan – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai tanggungjawab untuk secara automatik menanggung sebarang keperluan pembiayaan tambahan yang timbul daripada keputusan kerajaan negeri, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pengumuman projek baharu ketika kempen tidak dibenarkan – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak membenarkan sebarang pengumuman projek atau dasar baharu dibuat selepas hari penamaan calon bagi sesuatu pilihan raya selaras dengan peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Perdana…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Amirudin: Tiada caj, kompaun sepanjang gangguan aplikasi parkir

Amirudin: Tiada caj, kompaun sepanjang gangguan aplikasi parkir

Sabah perkukuh tadbir urus biodiversiti melalui strategi 2024-2034, dua sistem digital baharu

Sabah perkukuh tadbir urus biodiversiti melalui strategi 2024-2034, dua sistem digital baharu

Lagi insiden letupan senjata Kem Hobart: Dua anggota TDM kini stabil

Lagi insiden letupan senjata Kem Hobart: Dua anggota TDM kini stabil

Jalex mahu tarik banyak pelabur, buka peluang pekerjaan untuk anak muda

Jalex mahu tarik banyak pelabur, buka peluang pekerjaan untuk anak muda

Soraya tampil dengan lima tekad, komited bangunkan Sungai Balang lebih maju dan berdaya saing

Soraya tampil dengan lima tekad, komited bangunkan Sungai Balang lebih maju dan berdaya saing

Kuota subsidi diesel Budi MADANI perlu mengambil kira realiti Sabah

Kuota subsidi diesel Budi MADANI perlu mengambil kira realiti Sabah