Ketirisan cecah RM11 juta, 22 stesen minyak Sarawak dikawal ketat

KUCHING – Kerajaan MADANI memandang serius isu penyeludupan dan ketirisan bahan api bersubsidi apabila meletakkan 22 buah stesen minyak di kawasan sempadan Sarawak di bawah radar pemantauan ketat pihak berkuasa menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof menegaskan, langkah memperluaskan penempatan statik anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu telah mendapat lampu hijau daripada Jemaah Menteri pada 8 April lalu.

Menurutnya, inisiatif berkenaan memfokuskan kepada 151 stesen minyak di seluruh negara yang dikenal pasti berdepan risiko tinggi.

“Daripada jumlah itu, 87 stesen terletak berhampiran pintu sempadan negara manakala 64 lagi dikesan mempunyai rekod jualan yang mencurigakan.

“Khusus di Sarawak, sebanyak 22 stesen di daerah Limbang, Lubok Antu dan Lundu akan dikawal rapi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penubuhan Pasukan Petugas Khas Ops Tiris 4.0 di sebuah hotel pada Isnin.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memberitahu, tumpuan KPDN di bumi kenyalang itu turut disasarkan kepada 16 depoh Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (PANESA) dan 153 tangki gelincir (skid tank) persendirian.

Turut tidak terlepas daripada pemantauan adalah 25 buah stesen minyak tanpa jenama serta jeti-jeti haram yang disyaki menjadi lubuk aktiviti pemindahan bahan api (bunkering) di sekitar sungai di negeri ini.

Menyentuh mengenai impak Ops Tiris 4.0 yang digerakkan sejak 16 Mac lalu, beliau mendedahkan operasi tersebut telah berjaya merekodkan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM11 juta setakat 12 April.

Lebih mengejutkan, lebih separuh daripada jumlah rampasan itu disumbangkan oleh Sarawak, iaitu sebanyak RM6.7 juta yang membabitkan 48 kes.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 13,759 pemeriksaan telah dibuat di seluruh negara dalam tempoh sebulan ini yang membawa kepada penemuan 239 kes penyelewengan.

“Ia merangkumi 99 kes membabitkan diesel dengan nilai melebihi RM3.1 juta, diikuti petrol RON95 (61 kes/RM95,387), gas petroleum cecair (30 kes/RM45,103) manakala 49 kes lagi melibatkan barang kawalan lain seperti minyak masak, tepung gandum dan gula,” ujarnya.

Kejayaan besar itu, tambah beliau, adalah manifestasi kerjasama erat pelbagai agensi termasuk PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang dikesan menyalahgunakan kemudahan subsidi dan tindakan tegas termasuk membatalkan kelulusan ‘fleet card’ Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) akan diambil serta merta.

Turut hadir Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; dan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.

Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Related Posts

Empat nelayan Indonesia ditahan, rampasan lebih RM2 juta

LUMUT – Cubaan sebuah vesel nelayan asing Indonesia menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak dalam operasi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Syarat kelayakan SRAS dilonggarkan, penerima nikmati bantuan sewa 48 bulan

KUCHING – Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak (SRAS) kini ditambah baik untuk membantu lebih ramai rakyat mendepani cabaran kos sara hidup, khususnya dalam usaha mendapatkan kediaman sewaan yang mampu milik.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Empat nelayan Indonesia ditahan, rampasan lebih RM2 juta

Empat nelayan Indonesia ditahan, rampasan lebih RM2 juta

Syarat kelayakan SRAS dilonggarkan, penerima nikmati bantuan sewa 48 bulan

Syarat kelayakan SRAS dilonggarkan, penerima nikmati bantuan sewa 48 bulan

Hebahan palsu, MAIWP nafi pemberian insentif khas RM1,000

Hebahan palsu, MAIWP nafi pemberian insentif khas RM1,000

Kes edar pil kuda: Usahawan wanita tidak bebas, hanya diikat jamin

Kes edar pil kuda: Usahawan wanita tidak bebas, hanya diikat jamin

Sarawak diberi kepercayaan laksana 79 projek air bernilai RM3.47 bilion

Sarawak diberi kepercayaan laksana 79 projek air bernilai RM3.47 bilion

Kualiti internet bidang kuasa MCMC, Sarawak sedia sokong usaha kerajaan Persekutuan

Kualiti internet bidang kuasa MCMC, Sarawak sedia sokong usaha kerajaan Persekutuan