
SANDAKAN – Isu murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya yang terpaksa mengikuti sesi pembelajaran di bawah khemah serta di kaki lima masjid mendapat perhatian kerajaan negeri Sabah yang kini giat mencari penyelesaian lebih selesa.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Samad Jambri @ Jamri berkata, situasi itu berlaku susulan keadaan bangunan asal sekolah berkenaan yang mengalami kerosakan teruk sehingga tidak lagi selamat digunakan.
“Hasil penilaian pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), bangunan sekolah tersebut disahkan tidak sesuai untuk meneruskan aktiviti persekolahan harian.
“Disebabkan itu, pelajar SK Balaban Jaya terpaksa dipindahkan sementara ke bangunan masjid dan dewan bagi memastikan sesi pembelajaran dapat diteruskan.

“Bagaimanapun, keadaan ini tidak memberi keselesaan kepada murid dan guru, sekali gus menjejaskan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran,” ujarnya ketika ditemui media sempena Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Majlis Daerah Beluran Tahun 2026, di Sabah Hotel, di sini, pada Jumaat.
Samad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk berkata, tindakan lebih menyeluruh perlu diambil segera bagi mencari lokasi sementara yang lebih sesuai berbanding penggunaan masjid dan dewan ketika ini.
“Saya mencadangkan supaya satu kerangka lebih baik diwujudkan dengan mengenal pasti tempat yang lebih kondusif untuk menempatkan pelajar sepanjang tempoh menunggu pembinaan atau penyediaan bangunan kekal.
“Keadaan semasa jelas tidak ideal dan perlu diperbaiki demi kebajikan murid serta guru,” katanya.
Tambah beliau, perkara itu sedang diberi perhatian oleh Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) yang telah turun padang meninjau sendiri situasi berkenaan.
“Usaha sedang giat dijalankan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dan kita berharap dalam masa terdekat ini, murid-murid dapat dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai.
“Beberapa lokasi alternatif telah dikenal pasti, namun keputusan muktamad masih belum dibuat,” jelasnya.
Menurutnya lagi, satu mesyuarat tergempar dijadualkan berlangsung pada Isnin ini bagi membincangkan secara khusus isu berkenaan.
“Diharapkan mesyuarat itu nanti dapat memutuskan satu penyelesaian yang tuntas demi memastikan keselesaan serta kelancaran pembelajaran murid dan guru SK Balaban Jaya,” katanya.

