Kutipan zakat fitrah Pulau Pinang melonjak hampir RM10 juta

BUKIT MERTAJAM – Kutipan zakat fitrah di Pulau Pinang bagi Ramadan tahun ini mencatat peningkatan memberangsangkan apabila hampir mencecah RM10 juta setakat 9 April lalu.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, kutipan semasa direkodkan sebanyak RM9.77 juta walaupun masih terdapat dua daerah yang belum dimuktamadkan.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan lebih RM1 juta berbanding kutipan tahun sebelumnya iaitu RM8,890,273.

“Alhamdulillah, kutipan zakat fitrah meningkat kepada RM9.7 juta setakat semalam walaupun dua daerah masih belum selesai pengiraan.

“Kita berdoa mudah-mudahan baki dua daerah ini dapat membantu kita mencapai sasaran RM10 juta,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di sini hari ini.

Mohamad berkata, dua daerah yang masih dalam proses pengiraan ialah Kepala Batas di daerah Seberang Perai Utara dan Bukit Mertajam di daerah Seberang Perai Tengah.

“Dengan baki kira-kira RM200,000 sahaja lagi, kita berharap kutipan zakat fitrah tahun ini dapat mencecah RM10 juta,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Zakat MAINPP berkata, peningkatan kutipan zakat fitrah itu dipengaruhi beberapa faktor termasuk kadar zakat yang ditetapkan serta tahap keyakinan umat Islam terhadap institusi MAINPP.

“Lonjakan kutipan ini menunjukkan keyakinan masyarakat Islam di Pulau Pinang terhadap institusi MAINPP berada pada tahap yang meyakinkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Yang Dipertua MAINPP memaklumkan sasaran kutipan zakat harta bagi 2026 ditetapkan kira-kira RM230 juta.

Katanya, sasaran itu dibuat susulan pencapaian memberangsangkan tahun lalu apabila kutipan zakat harta mencecah RM202.3 juta berbanding RM172 juta pada 2024.

“Kita meletakkan sasaran kira-kira RM230 juta pada tahun ini dengan keyakinan sokongan berterusan daripada umat Islam termasuk sektor kerajaan dan swasta,” katanya.

Menurutnya, peningkatan jumlah pembayar zakat harta juga menjadi faktor penting khususnya melalui zakat pendapatan yang mencatatkan pertambahan 660 pembayar kepada 71,442 orang pada 2025.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat potensi besar yang belum diterokai terutama dalam kalangan kakitangan kerajaan dan swasta melalui skim potongan zakat.

“Kita dapati kadar penyertaan skim potongan melalui Skim Sakinah masih antara 30 hingga 40 peratus sahaja, jadi masih banyak ruang untuk ditingkatkan,” katanya.

Tambah beliau, walaupun kadar nisab meningkat yang sepatutnya mengurangkan jumlah pembayar namun keseluruhan kutipan zakat harta tetap menunjukkan peningkatan.

Sebelum itu, Mohamad mengumumkan prestasi kutipan Zakat MAINPP menunjukkan peningkatan apabila mencatat RM202.48 juta pada 2025 berbanding RM172.86 juta pada tahun sebelumnya, iaitu kenaikan sebanyak 17 peratus.

Mohamad berkata, peningkatan itu mencerminkan tahap keyakinan tinggi umat Islam terhadap institusi zakat yang diurus secara profesional, telus dan berintegriti.

Related Posts

PPWS terus perkasa wanita, pacu potensi dan kepimpinan masyarakat Sarawak

LIMBANG – Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) disaran terus memperkukuh peranan sebagai platform memperkasa wanita dalam pelbagai bidang. Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah berkata, PPWS perlu memberi penekanan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sindiket sedia ‘call gateway’ bantu scam luar negara tumpas, tiga lelaki ditahan

IPOH – Tiga lelaki tempatan ditahan selepas polis membongkar sindiket yang dipercayai menyediakan rangkaian komunikasi sebagai ‘call gateway’ bagi membantu kegiatan penipuan dalam talian yang dipercayai dikendalikan dari luar negara.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Jangan terperangkap ‘peluru’ identiti, perkauman

Jangan terperangkap ‘peluru’ identiti, perkauman

Teruskan agenda reformasi, jangan mudah terpengaruh naratif lawan – Nurul Izzah

Teruskan agenda reformasi, jangan mudah terpengaruh naratif lawan – Nurul Izzah

Dasar gaji progresif perlu terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat – Nurul Izzah

Dasar gaji progresif perlu terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat – Nurul Izzah

Ancaman Melayu bukan hadir dari kaum lain – Saifuddin

Ancaman Melayu bukan hadir dari kaum lain – Saifuddin

PPWS terus perkasa wanita, pacu potensi dan kepimpinan masyarakat Sarawak

PPWS terus perkasa wanita, pacu potensi dan kepimpinan masyarakat Sarawak

Kalah Chennah bukan noktah, DAP mesti bangkit – Anthony

Kalah Chennah bukan noktah, DAP mesti bangkit – Anthony