
IRAN pada awal pagi Rabu mengesahkan Amerika Syarikat (AS) secara prinsipnya menerima cadangan 10 perkara yang dikemukakan Republik Islam itu bagi menamatkan peperangan antara kedua-dua negara.
Memetik laporan rangkaian penyiaran rasmi Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB), Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi Iran dalam satu kenyataan memaklumkan, cadangan berkenaan akan dijadikan kerangka rasmi rundingan bagi memuktamadkan perjanjian yang lebih menyeluruh, lapor Anadolu.
Meskipun perincian penuh pelan berkenaan tidak didedahkan secara rasmi kepada umum, IRIB melaporkan cadangan itu merangkumi beberapa tuntutan utama Tehran terhadap Washington.
Antara intipati utama cadangan tersebut termasuklah jaminan untuk tidak menyerang Iran, pengiktirafan hak Tehran dalam pengayaan uranium, serta pengekalan kawalan Iran terhadap Selat Hormuz.
Selain itu, Iran turut menuntut penarikan balik semua sekatan utama dan sekunder AS, pembatalan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) terhadapnya.
Dokumen berkenaan juga menggariskan tuntutan pembayaran pampasan, pengunduran tentera tempur AS dari rantau tersebut, serta penamatan permusuhan di semua medan tempur, termasuk di Lubnan.
Bagaimanapun, majlis berkenaan menegaskan bahawa proses rundingan itu tidak bermakna peperangan telah berakhir sepenuhnya.
Tegasnya, sebarang perjanjian akhir adalah bergantung kepada pemenuhan syarat-syarat yang ditetapkan Iran serta pemuktamadan butiran teknikal yang berkaitan.
Dalam pada itu, Tehran memberi jaminan bahawa laluan selamat melalui Selat Hormuz akan dipastikan sepanjang tempoh rundingan melalui penyelarasan dengan angkatan tentera Iran.
Rundingan tersebut dijadualkan bermula pada Jumaat ini di Islamabad, Pakistan, yang bertindak sebagai perantara. Proses berkenaan dijangka berlangsung selama dua minggu dengan kemungkinan pelanjutan tempoh berdasarkan persetujuan bersama.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump, menyatakan kesediaan Washington untuk menangguhkan serangan ke atas Iran selama dua minggu dan menyifatkan cadangan Tehran sebagai “asas yang praktikal” untuk rundingan damai









