
MUKAH – Orang ramai yang menghadiri majlis rumah terbuka sempena musim perayaan Aidilfitri diingatkan supaya tidak ‘alpa’ dengan kepelbagaian juadah, sebaliknya sentiasa mengamalkan kawalan pemakanan yang seimbang.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, meskipun pelbagai hidangan enak dan tradisi disediakan, orang ramai perlu bijak memilih kuantiti kandungan makanan yang sederhana demi menjamin kesihatan.
Menurut beliau, pesanan itu penting memandangkan musim perayaan sering kali dikaitkan dengan pengambilan makanan secara berlebihan yang boleh memberi kesan kepada tubuh badan.
“Dari segi juadah, silalah makan dengan kuantiti yang sederhana. Saya fikir bagi mereka yang mempunyai kekangan kesihatan, jika tidak pasti (kandungan makanan), jangan makan berlebihan.
“Selain itu, memandangkan cuaca agak panas ketika ini, pastikan diri sentiasa mencukupi minum air kosong,” katanya ketika ditemui pada Majlis Lau Rayak P.213 Mukah 2026 di Dewan Setia Raja, MRSM Mukah pada Ahad.

Mengulas lanjut, Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah memaklumkan pihaknya turut menempatkan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada majlis tersebut bagi memberi khidmat nasihat.
“Kita ada kakitangan KKM di sini, jadi orang ramai boleh mengambil kesempatan untuk bertanya atau mendapatkan nasihat kesihatan jika perlu,” ujarnya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai program ‘Lau Rayak’ yang bermaksud ‘Hari Keramaian’ dalam bahasa Melanau, beliau menyifatkan majlis tersebut sebagai platform terbaik menyatukan masyarakat.
Kehadiran kira-kira 3,000 pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama menunjukkan semangat silaturrahim yang tinggi di Mukah, apatah lagi ia berlangsung serentak dengan sambutan Easter Sunday dan Cheng Beng.
“Ini adalah cara kita memperkukuh semangat gotong-royong dan kerjasama antara agensi kerajaan, jawatankuasa kampung dan pemimpin setempat untuk bersatu bagi kepentingan rakyat,” tambahnya lagi.
Turut hadir, Adun Tellian Roystone Valentine dan Adun Balingian Abdul Yakub Arbi.
Tamat


