
KOTA KINABALU – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud menzahirkan harapan agar mahkamah memberikan keputusan yang adil berhubung pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil Sabah, yang dijangka diputuskan esok, pada Isnin.
Mustapha berkata, kerajaan menghormati sepenuhnya proses perundangan memandangkan perkara itu kini berada di bawah bidang kuasa mahkamah.
“Kita harap besok mahkamah akan memberi keputusan sewajarnya dan kita akan akur dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh mahkamah.
“Saya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan seperti biasa akan menjadi koordinator antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, sebenarnya yang paling penting ialah bagaimana kita mahu berunding,” katanya kepada media semasa Program Penyerahan Sumbangan Khas YAB Perdana Menteri kepada mangsa kebakaran di Kampung Gudon, di sini pada Ahad.
Menurut Mustapha, perbincangan antara agensi berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) masih berjalan seperti biasa, dengan fokus kepada mencari penyelesaian terbaik melalui rundingan.
“Kita berunding bagaimana melaksanakan 40 peratus ini dengan kadar yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Itu yang penting sebenarnya,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan juga perlu diambil kira dalam usaha melaksanakan tuntutan tersebut.
“Ini seperti yang kita sudah sebut kita tidak appeal pun yang 40 peratus,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik kenyataan terkini oleh Sabah Law Society (SLS) baru-baru ini, yang dilihat semakin memahami pendirian Kerajaan Persekutuan yang tidak mencabar tuntutan tersebut, sebaliknya memberi ruang kepada rundingan.
“Cuma yang diperlukan kami (Kerajaan Persekutuan) ini, perundingan memberi kita masa untuk menyelesaikan masalah ini dengan harmoni supaya hubungan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri ini tidak terjejas,” ujarnya.



