JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap agar usaha kerajaan memperkukuh hubungan diplomatik serta menyuarakan pendirian tegas dalam isu membabitkan Iran dan konflik di Gaza diberi kredit, bukannya dipertikai oleh pihak tertentu.
Beliau berkata, hal ini kerana ketegasan kerajaan termasuk pendirian membantah serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran membantu memperkukuh hubungan diplomatik negara, sekali gus membolehkan kapal Malaysia dibenarkan melalui Selat Hormuz.
“Ingat senang nak pujuk Presiden Iran untuk kapal kita lalui Selat Hormuz? Saya tidak katakan kerajaan dulu tidak baik dengan Iran, tetapi tidak seperti mana yang kita ada sekarang. Kita boleh telefon berulang kali, kita boleh usulkan di Parlimen bantah serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran.
“Cuba tengok berapa negara di dunia buat kenyataan setegas Malaysia lakukan dalam soal perang Iran, berilah sedikit kredit, ini pembangkang tak beri kredit, jadi ingat senang?” kata beliau ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Johor di Ekoflora, pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Komunikasi yang juga Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil; Naib Presiden PKR,
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau kecewa apabila pembangkang seolah-olah tidak menghargai usahanya selama ini.
Malah, beliau yang juga Presiden PKR berkata, pada masa sama pembangkang sering memainkan isu pertemuan beliau dengan Presiden AS, Donald Trump, termasuk di dalam kenderaan rasmi presiden “The Beast”.
“Betul, saya runding tetapi saya tidak mengorbankan kepentingan negara ini, saya berunding di dalam The Beast itu dengan Donald Trump, saya tidak apologetik,” kata beliau.
Anwar berkata, sebaliknya, beliau sempat memberitahu Trump bahawa Perdana Menteri ada bertemu dengan pemimpin Hamas bagi menekankan penderitaan rakyat Palestin, termasuk anak-anak yang terkorban akibat serangan berterusan, serta tanah mereka yang dirampas.
“Saya cakap semua ini beritahu Presiden Donald Trump, saya buat kerana saya datang daripada semangat reformasi keadilan. Kita ada ramai pemimpin yang cakap hebat, tetapi ada yang berani berdepan begitu?” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau turut menyampaikan mesej serupa kepada Presiden AS sebelum ini, Joe Biden, termasuk mengkritik perkara yang disifatkan sebagai sikap hipokrasi Barat serta penindasan berterusan dan penjajahan di Gaza.
Anwar berkata, tindakan itu sekali gus mencerminkan dasar dan prinsip reformasi yang dipegang oleh negara sehingga Malaysia kini dikenali sebagai antara negara yang berani menyuarakan pendirian tegas dalam isu geopolitik dunia.
“Pencapaian ekonomi Johor yang baik sebahagian besarnya ialah hasil dukungan dan dasar Kerajaan Persekutuan.
“Contohnya, projek Forest City yang malap kita pulihkan, pelabuhan Maharani yang tertangguh sekian lama dapat dibantu dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS–SEZ) disokong sepenuhnya Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Anwar berkata, beliau turut terbabit secara aktif dalam memastikan perjanjian JS–SEZ dapat dimeterai, termasuk berbincang berulang kali dengan Perdana Menteri Singapura ketika itu, Lee Hsien Loong untuk mencapai persefahaman bagi kepentingan bersama.
“Siapa pimpinan kerajaan, saya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) membantu Johor. Jangan seolah-olah kita tidak melakukan apa-apa. Saya tidak menafikan peranan kerajaan negeri Johor dan jentera mereka, tetapi ini soal dasar dan fakta.
“Fakta terbabit bukanlah direka-reka tetapi boleh disemak melalui rekod tiga tahun lalu. Johor mencatat jumlah pelaburan sebanyak RM110 bilion tahun lalu, menjadikannya rekod tertinggi dalam sejarah negara,” katanya.





