
LUMUT – Cubaan dua lelaki tempatan menyeludup daun ketum di perairan Pulau Pangkor tidak kesampaian apabila mereka diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada petang Khamis.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kejayaan itu hasil risikan awal berhubung aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan sebelum bot ronda digerakkan untuk operasi pemantauan dan penguatkuasaan.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas sebuah bot tanpa nombor pendaftaran kira-kira 0.3 batu nautika di timur Pulau Pangkor menemukan dua lelaki tempatan yang bertindak sebagai tekong dan awak-awak.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui 15 bungkusan plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum yang dipercayai untuk pasaran sekitar Pulau Pangkor,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia antara 32 hingga 46 tahun itu bersama bot dan rampasan seberat 75.3 kilogram dianggarkan bernilai RM110,000 ditahan sebelum diiring ke Jeti Perikanan Kampung Acheh.
Tambahnya, kesemua tangkapan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Racun 1952. Siasatan lanjut masih dijalankan.






