89 65 66 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 39 32 83 101 114 105 32 65 110 119 97 114 32 73 98 114 97 104 105 109 32 115 101 109 97 115 97 32 112 114 111 103 114 97 109 32 73 108 109 117 119 97 110 32 77 65 68 65 78 73 32 115 105 114 105 32 57 32 100 105 32 83 97 115 97 110 97 32 75 105 106 97 110 103 44 32 75 117 97 108 97 32 76 117 109 112 117 114 46 32 51 49 32 77 97 99 32 50 48 50 54 46 32 73 90 90 85 68 68 73 78 32 65 66 68 32 82 65 68 90 65 75 47 80 101 106 9
KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) serta syarikat minyak lain bagi memastikan bekalan minyak negara kekal mencukupi untuk tempoh lebih sebulan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan kerajaan dapat terus mengekalkan mekanisme subsidi bahan api, selain mengurus isu harga minyak secara berhemah.
Beliau berkata, isu harga bahan api perlu ditangani secara berasaskan fakta dan penjelasan yang jelas kerana ia memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Isu yang dekat di hati saya ialah harga bahan api. Kita perlu menanganinya. Kadangkala dalam pelaksanaan dasar ekonomi, ia mesti berpandukan fakta. Sebab itu kita membuat keputusan berkaitan RON95.
“Selepas berbincang dengan PETRONAS dan syarikat minyak lain, kita masih mampu mengawalnya untuk tempoh sebulan atau lebih. Rakyat seharusnya menjadi pihak terakhir yang terbeban dengan isu ini,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 9 bertajuk Memacu Ekonomi Malaysia: Peranan Sektor Kewangan dan Reformasi Struktur Dalam Mendepani Ketidaktentuan Geopolitik Global.
Turut menjadi panel forum berkenaan ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour; serta Ketua Ekonomi Bank Dunia Malaysia, Dr Apurva Sanghi.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pengurangan kuota petrol RON95 bersubsidi kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April, berbanding 300 liter sebelum ini.
Bagaimanapun, harga petrol bersubsidi itu kekal pada RM1.99 seliter.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata beberapa siri perbincangan turut diadakan bersama pasukan ekonomi kerajaan bagi meneliti langkah penting untuk melindungi kepentingan rakyat dalam jangka sederhana dan panjang.
Namun, beliau mengakui usaha berkenaan bukan mudah kerana memerlukan sokongan pelbagai pihak dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
Perdana Menteri turut menggesa rakyat supaya mengetepikan perbezaan politik dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi serta merangka dasar yang mampu membantu negara menghadapi cabaran geopolitik global.
“Kebimbangan saya adalah dalam sebuah negara demokrasi, amat sukar untuk mendapatkan sokongan semua pihak.
“Saya merayu supaya kita mengetepikan politik. Marilah kita fokus kepada langkah-langkah untuk meringankan isu ekonomi dan memperkenalkan dasar yang mendapat sokongan serta kefahaman semua,” katanya.



