
KUCHING – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak secara rasminya melancarkan enam laluan baharu perkhidmatan Bas.My Kuching secara serentak, dalam usaha memperluas akses dan kesalinghubungan pengangkutan awam untuk kemudahan penduduk di sekitar bandar raya ini.
Pengerusinya, Michael Kong Feng Nian berkata, inisiatif perluasan rangkaian laluan itu mendapat reaksi positif daripada orang ramai, yang kini dapat menikmati akses pengangkutan awam yang lebih mudah dan boleh diharap di kawasan perumahan masing-masing.
Bagi meninjau sendiri keberkesanan inisiatif berkenaan, beliau telah turun padang dan merasai pengalaman menaiki bas bagi laluan Q15 (Saujana–Stutong Baru/Kuching Sentral).
“Laluan ini menghubungkan beberapa kawasan perumahan utama termasuk Jalan Foochow, Tabuan Jaya, Tabuan Laru, Tabuan Heights, dan Stutong Baru, sekali gus memenuhi keperluan pergerakan harian komuniti yang semakin pesat membangun di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Walaupun peluasan laluan itu merupakan satu perkembangan yang amat positif, Michael menegaskan aspek ketepatan masa dan kebolehpercayaan perkhidmatan kekal menjadi teras utama Bas.My Kuching.

Menurutnya, dua elemen tersebut adalah faktor penentu dalam membina keyakinan dan penerimaan jangka panjang orang awam untuk terus menggunakan kemudahan berkenaan.
“Oleh itu, pihak LPKP Sarawak akan terus memantau rapat prestasi pengendali bas bagi memastikan mereka mematuhi jadual serta standard perkhidmatan yang telah ditetapkan dengan tegas,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut mengambil maklum mengenai isu aplikasi telefon pintar Bas.My Kuching yang didapati masih belum memaparkan senarai laluan baharu yang diperkenalkan.
Menurut beliau, perkara itu merupakan aspek penting dalam penyampaian perkhidmatan memandangkan ramai pengguna bergantung kepada aplikasi tersebut untuk merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat masa nyata.
“Kami akan berhubung segera dengan pihak pembekal sistem untuk memastikan aplikasi itu dikemas kini tanpa sebarang kelewatan, supaya pengguna dapat menerima maklumat yang tepat dan menepati masa,” tegasnya.
Tambahnya lagi, pelancaran enam laluan baharu itu membuktikan komitmen berterusan LPKP Sarawak dalam memartabatkan mutu pengangkutan awam, di samping menggalakkan orang ramai beralih kepada penggunaan kemudahan tersebut.
“Kami akan terus memperhalusi dan meningkatkan perkhidmatan Bas.My Kuching bagi memastikan ia sentiasa menepati jangkaan serta keperluan masyarakat,” ujarnya.




