
LENGGONG – Empat khemah gerai menjual mercun musnah hampir keseluruhannya dalam satu kebakaran berhampiran Dataran Lenggong, di sini, petang Jumaat, manakala seorang lelaki dilaporkan cedera.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.48 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, kebakaran melibatkan empat khemah terbuka berukuran 20×20 kaki setiap satu, dengan kemusnahan dianggarkan sehingga 90 peratus.
“Seorang lelaki berusia 34 tahun dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut.
“Ketua operasi menjalankan penilaian situasi dan mengaplikasikan Konsep RECEO sebelum anggota melaksanakan kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dari tangki jentera sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau menambah, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.41 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira 15 minit kemudian.







