
MAC merupakan Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal, iaitu kanser kedua paling kerap didiagnosis dan tertinggi dalam kalangan lelaki di Malaysia.
Namun, di sebalik pelbagai kempen dan hebahan oleh agensi kesihatan, tahap kesedaran terhadap kanser ini masih rendah dan belum mencapai tahap yang memuaskan.
Statistik kanser di Malaysia membimbangkan, dengan risiko satu dalam 10 lelaki dan satu dalam sembilan wanita menghidap penyakit ini, terutama kanser kolorektal.
Penyakit ini menjejaskan semua kaum, paling tinggi dalam kalangan Cina, diikuti Melayu dan India. Namun, jurang antara ketersediaan saringan dan tindakan pencegahan masih belum ditangani.
Pencegahan dan Kepentingan Pengesanan Awal
Pakar Hospital Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Mohd Firdaus Mohd Hayati berkata kanser kolorektal boleh dicegah dan dirawat dengan berkesan jika dikesan awal.
‘’Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperkenalkan program saringan awal sejak tahun 2014, menawarkan ujian imunokimia darah samar dalam najis (iFOBT) kepada individu berumur 50 hingga 75 tahun yang tidak bergejala.
‘’Ujian ini mudah dan tidak invasif, bertujuan mengesan kehadiran darah tersembunyi dalam najis sebagai petanda awal kanser kolorektal.
‘’Ia boleh didapati secara meluas di klinik kesihatan kerajaan, namun begitu, kadar pengambilannya amat rendah,’’ ujarnya.

Tambah Mohd Firdaus, berdasarkan Pelan Strategik Kebangsaan Kanser Kolorektal 2021–2025, kurang daripada satu peratus individu yang layak menjalani saringan setiap tahun di fasiliti kesihatan kerajaan.
‘’Kajian keratan rentas di Semenanjung Malaysia yang telah diterbitkan oleh jurnal antarabangsa iaitu Asian Pacific Journal of Cancer Prevention menunjukkan keadaan yang lebih membimbangkan, apabila hanya 0.7 peratus responden pernah menjalani sebarang bentuk saringan dalam tempoh lima tahun,’’ kongsinya.
Kekangan dan Halangan terhadap Saringan
Antara 2014 hingga 2018, hanya 52–67% pesakit meneruskan pemeriksaan kolonoskopi, manakala sebahagian besar gagal hadir untuk penilaian lanjut.
Halangan utama termasuk ketakutan, stigma, dan kekangan praktikal. Dari segi psikologi, ramai pesakit berasa jijik, malu, dan tidak selesa mengendalikan sampel najis, menjadikan perasaan stigma dan rasa jijik antara sebab utama mengelak saringan.
Persoalannya, mengapa ramai yang tidak mengambil langkah seterusnya walaupun tanda amaran telah dikenal pasti?
Halangan terhadap saringan kanser kolorektal bersifat pelbagai. Dari sudut psikologi, ramai pesakit berasa jijik, malu, dan tidak selesa mengendalikan sampel najis, selain stigma dan rasa takut mengetahui diagnosis kanser. Prosedur kolonoskopi pula sering dianggap menyakitkan atau memalukan.
Selain itu, kekangan sistem kesihatan dan faktor sosioekonomi seperti masa menunggu yang panjang, kesukaran pengangkutan, dan masalah kewangan menjadi halangan utama. Kajian menunjukkan majoriti individu hanya menjalani saringan apabila disarankan oleh doktor, manakala ketiadaan nasihat perubatan menghalang ramai daripada berbuat demikian.
Peringkat Diagnosis Lewat
Menurut Pakar Pembedahan Am dan Felo Pembedahan Kolorektal Hospital Shah Alam, Dr. Devanraj Selvam, lebih 70% pesakit kanser kolorektal di Malaysia hanya mengetahui penyakit mereka pada peringkat lewat, iaitu tahap 3 atau 4.

“Pada tahap ini, rawatan menjadi lebih kompleks, invasif dan mahal, dengan kadar kejayaan jauh lebih rendah,” kata Dr. Devanraj Selvam.
“Berdasarkan kajian MySCan, kadar kelangsungan hidup lima tahun bagi pesakit tahap I sekitar 75%, tetapi hanya 17% bagi tahap 4, menjadikan risiko kematian hampir empat kali ganda berbanding pengesanan awal.”
Navigasi Pesakit dan Perubahan Tingkah Laku
Untuk menutup jurang ini, usaha tidak boleh hanya tertumpu pada penyebaran maklumat. Pendekatan menyeluruh diperlukan, termasuk intervensi struktur dan perubahan tingkah laku.
Salah satu langkah berpotensi ialah Program Navigasi Pesakit, di mana seorang navigator membantu pesakit dari saringan hingga rawatan lanjut, termasuk memastikan kehadiran temujanji serta memberi sokongan emosi dan praktikal, pendekatan yang terbukti berkesan dalam kanser payudara.
Selain itu, doktor penjagaan primer di sektor awam dan swasta perlu lebih proaktif mencadangkan saringan kepada pesakit layak, beralih daripada sekadar menyediakan perkhidmatan kepada usaha aktif meningkatkan penyertaan.
Kanser kolorektal bukanlah hukuman mati yang pasti. Dengan pengesanan awal, kesedaran yang tinggi, dan tindakan proaktif melalui saringan serta sokongan sistem kesihatan, lebih banyak nyawa boleh diselamatkan. Sempena Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal, marilah kita mengambil langkah sekarang bukan hanya mengetahui, tetapi bertindak untuk kesihatan usus dan masa depan yang lebih sihat.







