Malaysia sokong usaha damai Pakistan anjur dialog AS-Iran

PUTRAJAYA – Malaysia memberi sokongan penuh terhadap inisiatif Pakistan untuk menjadi tuan rumah kepada dialog antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, dalam usaha meredakan ketegangan yang semakin memuncak di rantau Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tawaran tersebut disifatkan sebagai tepat pada masanya serta bersifat konstruktif dalam mencari jalan penyelesaian diplomatik terhadap konflik berkenaan.

Menurut beliau, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif serta beberapa pemimpin negara sahabat lain wajar dipuji kerana tampil memainkan peranan penting ketika keadaan serantau berada pada tahap membimbangkan.

“Saya memuji Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif serta para pemimpin negara sahabat lain yang tampil pada saat bahaya serantau semakin memuncak, susulan usaha terpuji terdahulu oleh kepimpinan Oman dan negara-negara sahabat lain. 

“Hubungan Pakistan dengan pihak-pihak berkepentingan, serta kedudukannya sebagai suara yang berwibawa dalam dunia Islam, meletakkannya pada posisi kukuh untuk membantu mewujudkan keadaan yang kondusif bagi rundingan bermakna.

“Malaysia menyokong inisiatif ini dan menggesa khususnya Amerika Syarikat serta Iran agar menyambutnya dalam semangat yang sama seperti yang ditawarkan,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.

Dalam pada itu, Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menggesa Amerika Syarikat dan Iran agar menyambut inisiatif tersebut dengan penuh keterbukaan serta semangat diplomasi.

Beliau berkata, masih terdapat ruang untuk perbincangan walaupun isyarat yang diterima setakat ini belum sepenuhnya jelas, namun peluang tersebut perlu dimanfaatkan secara serius oleh semua pihak.

“Sebarang rundingan mesti dilaksanakan berasaskan niat yang tulen dengan komitmen jelas untuk menamatkan konflik, bukan sekadar mengawal momentum bagi kelebihan taktikal.

“Komuniti antarabangsa telah menyaksikan terlalu banyak gencatan senjata yang sekadar menjadi reda, bukannya penyelesaian muktamad. Rantau ini memerlukan sesuatu yang lebih mampan,” katanya.

Tambah Anwar, Malaysia menegaskan semula hak Iran untuk mempertahankan kedaulatannya sebagaimana diiktiraf di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya dalam menghadapi serangan berterusan Israel di negara itu dan di Lubnan. 

Pada masa sama, beliau berharap semua pihak digesa supaya menahan diri pada tahap maksimum serta memastikan penduduk awam dan infrastruktur negara jiran, khususnya negara-negara Teluk, tidak terus terheret ke dalam konflik yang bukan pilihan mereka. 

“Negara-negara Teluk, rantau ini dan dunia mempunyai kepentingan besar dari segi ekonomi, sosial serta kestabilan jangka panjang dan rakyatnya tidak harus menanggung akibat daripada keputusan yang dibuat pihak lain.

“Ia juga merupakan satu perkara yang membimbangkan apabila sebahagian pihak yang paling lantang memperjuangkan aturan antarabangsa berasaskan peraturan dilihat mengamalkannya secara tidak konsisten. 

“Undang-undang antarabangsa tidak boleh digunakan secara terpilih. Ia tidak boleh melindungi satu pihak daripada pertanggungjawaban sambil menafikan hak pihak lain untuk mempertahankan diri. Kredibilitinya bergantung kepada pelaksanaan yang konsisten,” katanya.

Related Posts

Netizen bangga PMX tidak ‘termakan’ soalan provokasi isu Gaza, Israel

KETEGASAN dan ketenangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan berkaitan konflik Gaza, Israel dan Iran dalam satu wawancara bersama stesen televisyen India, Thanti TV baru-baru ini mendapat…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar tegaskan Malaysia tidak jadi laluan kargo sokong operasi ketenteraan Israel

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan membenarkan negara ini digunakan sebagai laluan transit bagi sebarang penghantaran kargo yang menyokong atau menyumbang kepada operasi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pelaksanaan MA63 terus diperkasa sebagai agenda nasional – Mustapha

  • By Ezmie
  • September 16, 2026
Pelaksanaan MA63 terus diperkasa sebagai agenda nasional – Mustapha

Netizen bangga PMX tidak ‘termakan’ soalan provokasi isu Gaza, Israel

Netizen bangga PMX tidak ‘termakan’ soalan provokasi isu Gaza, Israel

PRU16: Demi rakyat atau elak lebih ramai pemimpin UMNO didakwa rasuah?

PRU16: Demi rakyat atau elak lebih ramai pemimpin UMNO didakwa rasuah?

Lima ditahan ganggu tugas penguat kuasa di Tasek Bera

Lima ditahan ganggu tugas penguat kuasa di Tasek Bera

Anwar tegaskan Malaysia tidak jadi laluan kargo sokong operasi ketenteraan Israel

Anwar tegaskan Malaysia tidak jadi laluan kargo sokong operasi ketenteraan Israel

AMK Miri tuntut UMNO bertanggungjawab, tidak normalisasi penghinaan agama

AMK Miri tuntut UMNO bertanggungjawab, tidak normalisasi penghinaan agama