
IPOH – Program Fiesta Raya Ipoh Riverfront @ Old Town mencatat sambutan menggalakkan apabila berjaya menarik kira-kira 10,000 pengunjung sekali gus menyokong usaha menjadikan bandar raya ini lebih mesra keluarga serta meningkatkan aspek ‘walkability’, khususnya pada waktu malam.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, program yang berlangsung selama enam hari bermula 13 Mac itu turut menghimpunkan pengunjung dari dalam dan luar Perak.
Menurutnya, penganjuran kali kedua di Kinta Riverwalk dalam tempoh kurang sebulan selepas program sempena Tahun Baharu Cina membuktikan potensi kawasan tersebut sebagai lokasi tumpuan baharu.
“Ini merupakan antara inisiatif untuk memperbanyakkan lokasi tumpuan selain meningkatkan ‘walkability’ di Ipoh, terutamanya pada waktu malam.
“Ia juga sebahagian usaha menghubungkan kawasan-kawasan utama supaya bandar raya ini menjadi destinasi sesuai untuk orang ramai beriadah bersama keluarga,” katanya ketika berucap pada majlis penutup program berkenaan di Kinta Riverwalk, baru ini.

Beliau menjelaskan, antara kawasan yang menjadi tumpuan pelancong di pusat bandar termasuk Gerbang Malam, Greentown dan Kinta Riverfront, justeru penganjuran program seumpama itu dilihat mampu menghubungkan lokasi-lokasi tersebut melalui laluan pejalan kaki yang lebih selesa.
“Usaha ini secara tidak langsung membentuk rangkaian pergerakan seperti huruf ‘L’ atau ‘C’, membolehkan pengunjung berjalan kaki dari Old Town ke Gerbang Malam atau ke Riverfront.
“Malah, bagi mereka yang gemar meneroka, laluan ini boleh dilanjutkan dari kawasan hotel di Greentown ke Gerbang Malam, seterusnya ke Old Town dan Kinta Riverfront,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Sze Yee berkata, seramai 40 vendor tempatan mengambil bahagian sepanjang program tersebut dengan menawarkan pelbagai produk termasuk pakaian, aksesori, makanan dan minuman serta barangan perayaan dan kraf tangan.

Tambahnya, pelbagai aktiviti turut memeriahkan acara berkenaan seperti persembahan Nafas Band dan Nameless Project, sesi ‘Ride and Reflect’ bersama Ustaz Hanafiah serta kemunculan pempengaruh dikenali sebagai Adik Roti Canai Terbang.
“Penganjuran ini bukan sahaja menghidupkan suasana malam di Ipoh, malah berjaya menarik kehadiran pengunjung yang datang bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya.




