AYER KEROH – Barisan Nasional (BN) perlu mendedahkan senarai penderma yang membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melunaskan denda RM50 juta bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim berkata, persoalan itu timbul atas prinsip ketelusan memandangkan kutipan dana terbabit berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 50 hari.
Jelasnya, Pakatan Harapan (PH) menghormati ketetapan mahkamah, namun sumber sumbangan berkenaan wajar didedahkan kepada pengetahuan umum.
“Kita tidak ada masalah langsung. Kita junjung perkara tersebut. Namun menjadi persoalan, adakah BN sedia untuk mendedahkan senarai penderma tersebut.
“Ini supaya orang tahu dalam tempoh kurang 50 hari, maksudnya (ibarat) satu hari satu juta itu,” katanya pada sidang media terakhir PH menjelang hari pengundian PRN Melaka, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, berkata, isu berkenaan perlu dilihat dalam kerangka lebih besar membabitkan integriti, amanah dan kebertanggungjawaban pemimpin terhadap kuasa.
Menurutnya, pengundi tidak seharusnya membuat keputusan berdasarkan sentimen kaum dan agama semata-mata, sebaliknya menilai prinsip serta nilai yang dibawa oleh sesebuah parti politik.
“Kalau nak disebut bahawa pilihan dalam politik ini turut dilandaskan, disandarkan kepada agama dan kaum, saya setuju.
“Tapi jangan hanya tengok kepada identiti, lihat kepada nilai yang dibawa,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa prinsip keadilan tidak terhad kepada individu tertentu, sebaliknya terpakai kepada semua tanpa mengira kedudukan atau pengaruh.
Jelasnya, isu rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa juga perlu menjadi pertimbangan pengundi ketika memilih kerajaan negeri baharu.
“Saya menyeru rakyat Melaka mengekalkan semangat perpaduan dan tidak terpengaruh dengan naratif yang cuba memecahbelahkan masyarakat mengikut garis kaum serta agama.
“Pengundi Melaka telah membuktikan kemampuan membuat pilihan politik yang berbeza dalam beberapa pilihan raya lepas dan diyakini mampu membuat pertimbangan sendiri pada hari pengundian esok,” katanya.

