
SANDAKAN – Jeti pendaratan ikan di Kampung Sungai Beruang yang siap dibina pada kos RM200,000 bakal memberi manfaat kepada komuniti nelayan setempat apabila diserahkan untuk kegunaan mereka dalam masa terdekat.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, pembinaan jeti itu merupakan sebahagian daripada projek infrastruktur yang diperuntukkan bagi meningkatkan kemudahan asas nelayan di kawasan berkenaan.
“Alhamdulillah, keadaan jeti ini telah siap dan akan diserahkan kepada nelayan untuk digunakan sepenuhnya dalam aktiviti harian mereka,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Rahmah Mesra Madani bersama Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Libaran, di Dewan Norlisa, Bandar Labuk, pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan LKIM menyalurkan bantuan peralatan tangkapan ikan kepada 41 orang penerima nelayan di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Libaran melibatkan anggaran keseluruhan RM48,000.
“Bantuan set pukat dan tong isian telah diagihkan kepada 40 orang penerima manakala sebuah enjin sangkut diserahkan kepada seorang penerima bagi membantu nelayan meningkatkan keupayaan menangkap hasil laut.
“Tujuan utama bantuan ini adalah untuk menyokong nelayan menaik taraf peralatan mereka agar mampu ke laut lebih jauh dan dalam, sekali gus meningkatkan hasil tangkapan,” ujarnya.
Tambahnya, usaha berkenaan juga selari dengan agenda keterjaminan makanan negara yang kini menjadi keutamaan susulan ketidaktentuan global termasuk konflik antarabangsa yang memberi kesan kepada bekalan makanan.
“Apabila hasil banyak, kita boleh simpan sebagai stok untuk menghadapi waktu kekurangan.
“Sebab itu aspek ‘food security’ ini sangat penting,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, Sabah mempunyai potensi besar sebagai hab pengeluaran ikan negara berikutan keluasan perairannya terutama di Laut China Selatan yang kaya dengan sumber marin.
Bagaimanapun, katanya, potensi itu masih belum dimanfaatkan sepenuhnya secara konsisten termasuk dalam aspek eksport ke pasaran luar.
“Sabah boleh menjadi pembekal utama ikan untuk seluruh Malaysia.
“Pada masa sama, ia mampu meningkatkan pendapatan nelayan kerana harga ikan di Semenanjung jauh lebih tinggi berbanding di Sabah, dengan perbezaan hampir 100 peratus,” jelasnya.

Sehubungan itu, Muhammad Faiz menggesa nelayan mengambil peluang dalam bidang keusahawanan melalui konsep ‘satu peserta satu produk’ bagi memperkukuh ekonomi masing-masing.
“Kita mahu nelayan bukan sahaja bergantung kepada tangkapan, tetapi juga terlibat sebagai entiti perniagaan yang aktif,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan cadangan pembinaan kompleks pendaratan ikan di Sandakan telah diluluskan kerajaan dan kini berada pada peringkat kajian kesesuaian tanah.
“Tapak seluas kira-kira 20 hektar di kawasan Tanah Merah telah diperuntukkan khas untuk projek ini yang bakal menjadi kompleks perikanan LKIM pertama di Sabah,” katanya.
Turut hadir dalam program ialah Pengarah LKIM Negeri Sabah, Mohd Jamil Abdullah; Pengerusi PNK Sandakan, Mohd Said Pimping; Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri (PNN) Sabah, Shaiful Bahri Muin.






