
KUCHING – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak akan melaksanakan Op Selamat 26 sempena Hari Raya 2026 bermula 19 hingga 24 Mac ini bagi memastikan keselamatan masyarakat sepanjang musim perayaan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, operasi selama enam hari itu memberi tumpuan kepada usaha menurunkan kadar kemalangan jalan raya, menguatkuasakan undang-undang trafik, serta meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya terhadap aspek keselamatan.
“Operasi ini bertujuan untuk menurunkan kadar kemalangan jalan raya, menguatkuasakan undang-undang dan mendidik pengguna tentang keselamatan serta tanggungjawab mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, rondaan berkala turut dijalankan untuk mencegah jenayah pecah rumah, khususnya kediaman yang ditinggalkan ketika penghuni pulang bercuti.
“Rondaan akan dilaksanakan bagi memastikan setiap premis dan rumah berada dalam keadaan selamat serta bebas daripada sebarang ancaman jenayah,” jelasnya.
Menurut beliau, operasi melibatkan lebih 750 pegawai dan anggota polis dari pelbagai cawangan dan jabatan di seluruh Sarawak.
Tumpuan akan diberikan di Jalan Persekutuan, negeri dan bandaran yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan serta kesesakan lalu lintas.
Statistik menunjukkan jumlah kemalangan jalan raya semasa Hari Raya Aidilfitri 2025 menurun kepada 332 kes berbanding 354 kes pada 2024, iaitu penurunan sebanyak 6.2 peratus. Kes kemalangan maut juga menurun daripada tujuh kes pada 2024 kepada lima kes pada 2025.
Tiga daerah mencatatkan kes tertinggi semasa Op Selamat 24/2025 ialah Kuching (87 kes), diikuti Miri (50 kes) dan Padawan (43 kes).
Orang ramai yang bercuti diminta memaklumkan kepada pihak polis sebelum meninggalkan rumah melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), menghubungi balai polis berdekatan, atau mengisi borang balik kampung di portal rasmi PDRM.
“PDRM menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan trafik dan arahan anggota penguat kuasa. Keselamatan diri, keluarga dan orang tersayang perlu sentiasa diutamakan,” tegasnya.



