
PUTRAJAYA – Malaysia melahirkan kebimbangan terhadap kesan akibat perang Iran dan Israel yang kini sudah melangkaui sempadan serta dirasai seluruh dunia Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyuarakan perkara itu selepas mengadakan perbincangan pusingan kedua dengan beberapa pemimpin negara di Asia Barat berikutan konflik yang semakin meruncing di rantau berkenaan.
Beliau menegaskan, Israel dengan keangkuhan yang melampau serta cita-cita imperialistik yang disokong oleh Amerika Syarikat, sehingga bertindak sebagai penceroboh dan melancarkan serangan ke atas Iran.
“Kini keadaan menjadi semakin rumit. Saya sudah berhubung dengan para pemimpin di Oman, Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turkiye dan juga Iran. Malaysia, dengan sokongan semua Ahli Parlimen, mengecam serangan terhadap Iran dan kita juga menyampaikan ucapan takziah atas pemergian pemimpin Iran dan keluarga.
“Namun dalam pusingan kedua perbincangan dengan pemimpin dunia, kami turut menyuarakan kebimbangan kerana walaupun pelaku serangan ialah Israel dan pihak yang menyokongnya, kesannya dirasai di seluruh dunia Islam, khususnya di Asia Barat, Turkiye dan Azerbaijan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Mushaf Malaysia MADANI di Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya, pada Isnin.
Turut hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, perkara sama turut dibangkitkan dalam perbincangan kali kedua dengan Menteri Luar Iran, selain Malaysia menghargai jaminan tegas diberikan bahawa krisis berkenaan tidak akan dibiarkan mencetuskan pergeseran dan peperangan sesama negara Islam.

“Malaysia meneruskan pendekatan diplomasi aktif berasaskan hubungan erat dan persahabatan kukuh bukan sahaja dengan Iran, malah dengan negara lain termasuk Arab Saudi, Qatar, (UAE), Kuwait, Oman, Jordan dan Turkiye.
“Kita berdoa supaya krisis ini dapat diselesaikan,” katanya.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengingatkan bahawa nasib rakyat Palestin di Gaza tidak boleh dipinggirkan, lebih-lebih lagi ketika dunia Islam sedang berdepan konflik berpanjangan yang memberi kesan meluas kepada rantau terbabit dan seluruh dunia.
Beliau sekali lagi mengulangi bahawa kerajaan turut berdepan kesan langsung daripada konflik itu, termasuk peningkatan kos subsidi bahan api.
“Kerajaan Persekutuan terpaksa menambah subsidi sebanyak RM4.6 bilion untuk Sabah dan Sarawak susulan kenaikan harga, di samping menanggung tambahan subsidi RM2 bilion sebulan bagi mengekalkan harga semasa.
“Ada kadar semasa, jumlah itu bersamaan RM24 bilion tambahan setahun, dan akan terus meningkat sekiranya harga petroleum naik lagi,” katanya.
Anwar berkata, walaupun kerajaan terus berusaha mengurangkan beban rakyat, masih ada pihak yang mengeksploitasi keadaan itu sebagai senjata politik.
“Namun sekarang kita berdepan musibah ini dan kesannya adalah nyata. Ia kini menelan tambahan subsidi sebanyak RM2 bilion sebulan selagi kita mengekalkan harga semasa.
“Saya faham ada antara rakan-rakan dalam pembangkang dan juga segelintir pihak di media sosial yang masih mengecam kita tetapi itulah realitinya,” katanya.
Beliau menegaskan, krisis itu sepatutnya menjadi pengajaran bahawa keamanan dan kemakmuran tidak akan dapat dikekalkan tanpa perpaduan dan kerjasama antara negara Islam serta masyarakat antarabangsa.





