
TUARAN – Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah–Sarawak serta pembangunan tenaga boleh baharu dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh kestabilan sistem bekalan elektrik di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, projek berkenaan dijangka menjadikan bekalan tenaga di negeri ini lebih stabil dan boleh dipercayai selain membantu mengurangkan kebergantungan terhadap penjanaan berasaskan bahan api fosil secara berperingkat.
“Pada masa sama, ia turut meningkatkan margin rizab elektrik Sabah serta memperkukuh keyakinan pelabur terhadap kebolehpercayaan bekalan kuasa di negeri ini,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan bersama Ketua Menteri di perkarangan Masjid At-Taqwa, Perumahan Laya-Laya Tuaran, pada Sabtu.
Tambahnya, pelancaran Projek Solar 15 megawatt (MW) di Tuaran baru-baru ini turut menjadi langkah penting dalam transformasi struktur tenaga Sabah.
“Projek berkenaan bukan sahaja menambah kapasiti tenaga kepada sistem bekalan elektrik negeri, malah selari dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP2040) yang memberi penekanan kepada pembangunan tenaga boleh baharu serta kepelbagaian sumber tenaga.
“Usaha ini memberi isyarat jelas bahawa Sabah komited memperkukuh keselamatan tenaga negeri kerana tanpa bekalan tenaga yang stabil dan mencukupi, sukar bagi kita menarik pelaburan berimpak tinggi serta membangunkan industri bernilai tambah,” kongsinya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus menyokong langkah yang dilaksanakan oleh Sabah Electricity dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta menambah baik infrastruktur bekalan elektrik di Sabah.
“Usaha berterusan itu merangkumi peningkatan keupayaan penjanaan tenaga, pengukuhan rangkaian penghantaran dan pengagihan serta penambahbaikan mutu perkhidmatan kepada pengguna di seluruh negeri.
“Komitmen ini seiring dengan misi kerajaan negeri untuk menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan mampan bagi memacu aspirasi pembangunan Sabah serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin.
“Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri melalui Majlis Tenaga Sabah, Suruhanjaya Tenaga Sabah dan agensi berkaitan melaksanakan strategi menyeluruh secara berfasa merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang,” jelasnya
Hajiji turut memuji komitmen Tenaga Nasional Berhad dan Sabah Electricity dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat melalui inisiatif sumbangan Wakalah Zakat kepada golongan asnaf, masjid dan institusi tahfiz di Tuaran.
“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan memerlukan,ia turut mengeratkan hubungan antara kerajaan, agensi dan masyarakat,” tegasnya.




