
MIRI – Dua lelaki ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dalam satu serbuan di Jalan Perdana Tudan Phase 6, pada Jumaat.
Menurut kenyataan Polis Daerah Polis Miri, serbuan tersebut dijalankan oleh anggota Cawangan Pencegahan Jenayah dari Balai Polis Pusat Miri kira-kira jam 11.30 pagi.
Dalam pemeriksaan yang dijalankan, polis menemui sebuah botol berwarna ungu bertulis ‘Mentos Rape Flavour’ yang mengandungi 30 peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Jumlah rampasan dianggarkan seberat kira-kira lima gram dengan nilai pasaran sekitar RM550,” katanya dalam satu kenyataan.
Kedua-dua suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan serta siasatan lanjut.
“Hasil semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” ujarnya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga kali dan tidak melebihi sembilan kali, jika sabit kesalahan.
Polis turut menegaskan akan terus mempergiatkan usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan serta pengedaran dadah di daerah ini.
Foto: Facebook Polis Daerah Miri



