KUANTAN – Lebih 120,000 kanak-kanak didaftarkan untuk kemasukan prasekolah Kementerian Pendidikan (KPM) pada tahun depan, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan prasekolah KPM menjadi pilihan ibu bapa berikutan penawaran kualiti pendidikan yang baik selain akses prasekolah percuma.
Fadhlina berkata, prasekolah KPM juga mempunyai tenaga pengajar berkelayakan dan terlatih serta prasarana dan kemudahan lengkap, malah semua murid akan mendapat faedah Bantuan Makanan Prasekolah.
“Bagaimanapun, keutamaan diberikan kepada kanak-kanak berusia lima dan empat tahun daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan berada di luar bandar, sekali gus sebagai langkah persediaan sebelum mereka masuk ke pendidikan formal Tahun 1,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jaulah Ramadan Komuniti KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Hajjah Kalsom di sini, petang tadi.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Amzan Abd Malek.
Sehingga 4 Mac, KPM menerima 121,569 permohonan terdiri daripada 61,430 kanak-kanak lahir pada 2021 (umur 5 tahun), 52,189 kanak-kanak lahir pada 2022 (umur 4 tahun) dan 949 kanak-kanak yang lahir pada 2023 (umur 3 tahun).
Permohonan kemasukan ke prasekolah KPM dibuka secara dalam talian bermula pada 2 Mac hingga 31 Mei 2026 untuk kanak-kanak yang lahir pada 2 Januari 2021 hingga 31 Disember 2023.
Sementara itu, Fadhlina memaklumkan KPM sedang giat melaksanakan perluasan kelas prasekolah dengan tahun ini sebanyak 350 kelas baharu dibuka.
Beliau berkata, secara keseluruhan, sehingga kini terdapat 10,514 kelas prasekolah di 6,469 institusi KPM berkapasiti 256,894 tempat dengan enrolmen semasa sebanyak 217,041 murid.
Dalam pada itu, beliau turut memuji prestasi pendidikan di Pahang yang semakin menunjukkan peningkatan, antaranya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Pada majlis yang dihadiri lebih 600 orang terdiri daripada guru, pelajar dan wakil ibu bapa itu, Fadhlina turut mengumumkan bantuan sebanyak RM200,000 kepada SMK Sultanah Hajjah Kalsom.





