
SARIKEI – Sarawak mengingatkan rakyat Malaysia, khususnya anak Sarawak yang berada di beberapa negara Asia Barat yang sedang bergolak supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, mereka juga dituntut mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan perwakilan Malaysia di negara masing-masing.
Menurutnya, pendaftaran dengan pihak kedutaan adalah amat penting bagi membolehkan lokasi rakyat Malaysia dijejaki dengan pantas sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Jelas beliau, pihak kedutaan secara berkala akan mengeluarkan nasihat keselamatan dan kenyataan terkini bagi memastikan rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat, di samping memudahkan komunikasi segera jika berlaku insiden tidak dijangka.
“Pendaftaran ini adalah langkah asas untuk keselamatan. Sekiranya terdapat arahan daripada pihak berkuasa untuk kekal di rumah atau mengelak keluar, semua arahan perlu dipatuhi sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menghadiri Program Sejambak Kasih Aidilfitri pada Selasa.
Dalam pada itu, Fatimah memberitahu, pelbagai usaha kini sedang giat dijalankan bagi membantu rakyat Malaysia yang terkandas di negara terbabit.
Tambahnya, inisiatif tersebut termasuklah penyediaan penginapan sementara di hotel serta urusan mendapatkan penerbangan alternatif susulan gangguan jadual penerbangan akibat penutupan ruang udara.
Malah, beliau pada masa sama turut berkongsi pengalaman peribadi apabila anaknya sendiri terpaksa menangguhkan perjalanan pulang ke tanah air kerana situasi semasa yang tidak menentu.
Sebelum ini, kerajaan melalui Wisma Putra memberi jaminan bahawa lebih 29,000 rakyat Malaysia di rantau Asia Barat akan terus dipantau dan dijaga keselamatannya, terutama selepas pergolakan meningkat berikutan serangan membabitkan Amerika Syarikat, Israel, dan Iran.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)



