Isu pijak al-Quran: Kerajaan bertindak mengikut prosedur undang-undang – Pemerhati politik

TUDUHAN kononnya kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap individu yang didakwa menghina al-Quran sebagai tidak berasas dan berniat jahat, kata pemerhati politik, Norman Daud.

Norman berkata,dakwaan berkenaan langsung tidak mempunyai merit untuk diperdebatkan memandangkan tindakan penguatkuasaan telah pun diambil oleh pihak berkuasa.

Katanya, individu yang terlibat telah ditahan dan perintah reman sehingga 3 Mac 2026 diluluskan mahkamah bagi membantu siasatan dan polis juga membuka kertas siasatan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut menjalankan siasatan termasuk meneliti jejak digital serta kandungan yang dimuat naik berkaitan kes berkenaan dan laporan polis juga dibuat di beberapa negeri di seluruh negara.

“Perdana Menteri sendiri telah memberi kenyataan bahawa kes ini tidak dipandang ringan dan mesti diproses mengikut undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Norman berkata, Malaysia merupakan negara yang berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan setiap kes perlu melalui proses siasatan serta pendakwaan yang sewajarnya.

“Jika benar marah kerana agama dihina, maka kita sepatutnya mahu kes ini diproses dengan teliti supaya sabitan dapat dibuat di mahkamah, bukan sekadar menimbulkan tekanan atau sentimen di media sosial,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang terus memutar belit fakta walaupun tindakan telah diambil, sehingga menimbulkan persepsi bahawa kerajaan berdiam diri.

Tambahnya, pada tahun 2025 kerajaan telah meminda peruntukan berkaitan dengan meningkatkan kadar denda daripada RM50,000 kepada RM500,000 bagi kesalahan melibatkan penghinaan agama, hasutan dan ketenteraman awam, sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan memperketat hukuman.

“Masa mereka menjadi kerajaan dahulu, prinsip yang sama juga dipegang, iaitu menghormati proses undang-undang dan tidak mencampuri siasatan polis. Tiada siapa ketika itu yang berani mengatakan ‘hukum dahulu, siasat kemudian’,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar menilai isu berkenaan secara rasional dan tidak terpengaruh dengan sentimen politik yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Pada 25 Februari lalu, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki memuat naik kandungan yang menghina Islam di media sosial.

Sebelum itu, tular di media sosial sekeping gambar memaparkan kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran, selain tangkap layar beberapa hantaran yang didakwa dimuat naik oleh individu berkenaan, yang dikenal pasti sebagai penuntut universiti terbabit.

Related Posts

Imigresen serbu resort terbiar jadi pusat sindiket penipuan antarabangsa

PUTRAJAYA – Taktik licik sindiket penipuan dalam talian antarabangsa menjadikan sebuah pusat peranginan di Sungai Lembing, Pahang yang ditutup sejak tahun lalu sebagai pusat panggilan terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen…

Lebih lanjut

teruskan membaca
GRS sasar lebih 15 kerusi Parlimen Sabah pada PRU akan datang

KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyasarkan pencapaian lebih besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang termasuk meningkatkan jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi bagi mengukuhkan suara dan kuasa…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Imigresen serbu resort terbiar jadi pusat sindiket penipuan antarabangsa

Imigresen serbu resort terbiar jadi pusat sindiket penipuan antarabangsa

Sabah jadi tumpuan pendaki dunia, 250 peserta sertai Kinabalu Climbathon edisi ke-33

Sabah jadi tumpuan pendaki dunia, 250 peserta sertai Kinabalu Climbathon edisi ke-33

GRS sasar lebih 15 kerusi Parlimen Sabah pada PRU akan datang

GRS sasar lebih 15 kerusi Parlimen Sabah pada PRU akan datang

Gempa bumi bermagnitud 5.0 dikesan di perairan Sandakan

  • By Fandi
  • October 6, 2026
Gempa bumi bermagnitud 5.0 dikesan di perairan Sandakan

Kerajaan Kelantan, Pentadbir Tanah Pasir Mas diperintah bayar ganti rugi RM17.46 juta

Kerajaan Kelantan, Pentadbir Tanah Pasir Mas diperintah bayar ganti rugi RM17.46 juta

Pahang terbuka untuk jumpa bincang dengan wakil Berjaya Hills

Pahang terbuka untuk jumpa bincang dengan wakil Berjaya Hills