Sepasang suami isteri, lima lelaki ditahan kes tembak komander AKPS Bukit Kayu Hitam

ALOR SETAR – Polis menahan enam lelaki tempatan dan seorang wanita Thailand susulan kejadian melepaskan tembakan ke arah Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir di Bukit Kayu Hitam, kelmarin.

Hasil pemeriksaan lanjut, dua daripada mereka didapati mempunyai residu tembakan senjata api atau gunshot residue (GSR) pada tangan dan pipi dengan siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang giat dijalankan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, tangkapan ke atas kesemua suspek termasuk pasangan suami isteri berusia antara 22 hingga 52 tahun itu dilakukan dalam empat serbuan berasingan oleh Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dari pukul 10.30 pagi hingga 6 petang, hari kejadian.

“Lima lelaki tempatan ditahan di kawasan perumahan sekitar lokasi kejadian, manakala pasangan suami isteri terbabit dicekup di Padang Besar, Perlis ketika dipercayai cuba ke negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Menurut Adzli, saringan awal ujian air kencing mendapati lima suspek positif dadah jenis ketamin manakala seorang lagi positif methamphetamine.

“Semakan rekod jenayah juga mendapati empat daripada tangkapan mempunyai beberapa rekod lampau antaranya berkaitan kes bunuh, mendatangkan kecederaan parah, kes di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, rogol serta kes sempadan seperti penyeludupan dan barangan tidak diisytiharkan,” ujarnya.

Lima suspek lelaki yang ditahan dipercayai menjalankan operasi motosikal penambang dengan menghantar pengembara dari Bukit Kayu Hitam ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam untuk ke negara jiran.

Kata beliau, hasil siasatan lanjut mendapati dua suspek lelaki mempunyai residu tembakan senjata api atau gunshot residue (GSR) pada tangan dan pipi, selain kesan sama turut ditemui pada kunci motosikal dan topi keledar.

“Daripada tangkapan ini yang dibuat berdasarkan risikan dan asas kukuh, dua daripada tujuh suspek telah melalui pemeriksaan lanjut pihak forensik. Sampel kimia dihantar dan keputusan mendapati terdapat kesan GSR pada kedua-dua suspek,” katanya.

Beliau menjelaskan, GSR merupakan kesan apabila seseorang mempunyai akses kepada senjata api dan terdapat partikel termasuk karbon selepas tembakan dilepaskan.

Katanya, ia sekali gus menjadi petunjuk penting dalam siasatan walaupun senjata api yang digunakan masih belum ditemui.

Menurut beliau, siasatan setakat ini mendapati suspek tidak mempunyai akses berlesen terhadap senjata api dan pihaknya sedang menyiasat sama ada kedua-dua individu terbabit adalah pelaku yang melepaskan tembakan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Adzli berkata, tindakan pasangan suami isteri yang cuba keluar ke negara jiran melalui Padang Besar walaupun menetap di Bukit Kayu Hitam turut menimbulkan persoalan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Tambahnya, lima suspek direman selama empat hari, seorang direman dua hari manakala wanita warga Thailand itu direman selama 14 hari. Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Terdahulu, media melaporkan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir menjadi sasaran penjenayah dipercayai penyeludup yang cuba membunuhnya dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi kelmarin.

Related Posts

Hari Malaysia: Perjuangan hak Sabah bukan usaha menjauhkan diri daripada Malaysia

KOTA KINABALU – Hak dan kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus diperjuang dan direalisasikan melalui semangat kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Generasi muda digesa fahami sejarah, pelihara hak Sarawak dalam MA63

ENGKILILI – Kesedaran mendalam mengenai sejarah pembentukan negara dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu terus diperkukuh, khususnya dalam kalangan generasi muda bagi memastikan mereka memahami kedudukan dan hak sebenar Sarawak…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Hari Malaysia: Perjuangan hak Sabah bukan usaha menjauhkan diri daripada Malaysia

Hari Malaysia: Perjuangan hak Sabah bukan usaha menjauhkan diri daripada Malaysia

Generasi muda digesa fahami sejarah, pelihara hak Sarawak dalam MA63

Generasi muda digesa fahami sejarah, pelihara hak Sarawak dalam MA63

Pembantu kedai cermin mata ditahan kes pecah amanah RM179,000

Pembantu kedai cermin mata ditahan kes pecah amanah RM179,000

United tersingkir saingan Piala Carabao, kalah 2-3 kepada Brighton

United tersingkir saingan Piala Carabao, kalah 2-3 kepada Brighton

Hari Malaysia 2026: KSU Komunikasi hargai komitmen semua pihak, syukur kelancaran majlis

Hari Malaysia 2026: KSU Komunikasi hargai komitmen semua pihak, syukur kelancaran majlis

Pahang rekod kutipan hasil lebih RM1 bilion untuk tahun kelima

Pahang rekod kutipan hasil lebih RM1 bilion untuk tahun kelima