
SARATOK – Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok berjaya menumpaskan kegiatan curi buah kelapa sawit menerusi penahanan dua lelaki warga tempatan dalam operasi berasingan, baru-baru ini.
Ketua operasi, Inspektor Hendry Muji yang mengetuai sepasukan anggota BSJD berjaya menahan suspek pertama berusia 36 tahun yang bekerja sebagai buruh di tepi Jalan Dato Edward Jerah, Saratok pada 22 Februari lalu.
Suspek kedua yang berusia 28 tahun dan tidak bekerja pula diberkas di kediamannya di Kabong pada 25 Februari lalu.
Menurut sumber, kejadian kecurian itu disedari pengadu yang juga seorang kontraktor, Brudy Badron, 30, kira-kira jam 10 pagi pada 21 Februari di ladang milik bapa mentuanya di Sungai Saung, Kabong.
Pengadu pada asalnya dihubungi oleh seorang pekerja yang memaklumkan mengenai kehadiran individu mencurigakan sedang mengambil buah sawit di kebun berkenaan, selain pekerja terbabit sempat merakam gambar sebuah kenderaan jenis Ford Ranger.
“Pengadu bersama bapa mentuanya yang bergegas ke kebun mendapati beberapa pokok sawit telah ditombak.
“Ketika dalam perjalanan pulang melalui Simpang Sesang Kabong, pengadu terserempak dengan pemilik kenderaan (Ford Ranger) tersebut dan terus bertanyakan mengenai kejadian itu,” katanya.
Lelaki terbabit walau bagaimanapun mendakwa dia hanya mengambil upah menjual buah sawit berkenaan dan diarahkan oleh dua lelaki lain yang dikenalinya, menyebabkan pengadu segera membuat laporan polis.
Hasil siasatan pihak polis mendapati suspek kedua mengaku menombak dan mengambil buah sawit di ladang terbabit bersama seorang lagi rakan yang kini masih bebas. Suspek turut mengaku telah melakukan perbuatan itu sebanyak empat kali dan menjual hasil curi di sebuah pusat pengumpulan (ramp) sawit berhampiran Jambatan Sessang.
Manakala suspek pertama mengaku telah empat kali mengambil upah menghantar buah sawit curi berkenaan untuk dijual dengan bayaran RM150 bagi setiap penghantaran.
Susulan penahanan itu, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipercayai digunakan untuk mengangkut hasil curi berkenaan.
Dalam pada itu, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek kedua positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala suspek pertama didapati negatif.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan kini disifatkan selesai berikutan penahanan suspek utama. Pihak polis turut menegaskan komitmen berterusan untuk membanteras kegiatan kecurian hasil pertanian di sekitar daerah ini.






