KAJANG – Kerajaan akan mengeluarkan kenyataan mengenai desakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan mafia korporat yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sudah melakukan perbincangan mengenai desakan DAP itu dan ia berjalan dengan baik.
“Kita sudah bincang tadi elok, nanti ada kenyataan (dikeluarkan),” katanya ketika ditemui media selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Bandar Kajang, pada Jumaat.
Terdahulu, Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, walaupun SPRM telah menafikan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas namun penafian semata-mata tidak mencukupi.
Katanya, apabila integriti agensi pencegahan rasuah utama negara dipersoalkan, penafian yang dikeluarkan sendiri tanpa siasatan bebas tidak mencukupi dan tidak banyak membantu memulihkan keyakinan awam serta pelabur.
Jelasnya, dakwaan berkenaan adalah spesifik kerana menamakan individu, syarikat serta merujuk kes-kes tertentu, sekali gus memberi asas mencukupi untuk siasatan dimulakan.
Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, kongres khas parti yang dijadualkan berlangsung pada 12 Julai bagi perwakilan parti memutuskan sama ada pemimpin mereka harus melepaskan jawatan kerajaan atau tidak mungkin akan diawalkan sekiranya cadangan RCI ditolak.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, ia akan bergantung kepada mesyuarat Kabinet hari ini menolak cadangan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan berkenaan.
Perkara ini selepas Bloomberg melaporkan mengenai pegangan saham Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki dan menggambarkan dakwaan salah laku dalam SPRM yang dikaitkan dengan istilah ‘mafia korporat’.




