Rafizi beri isyarat tubuh parti politik baharu

BEKAS Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi bayangan akan menubuhkan partinya sendiri sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi memberi pilihan kepada pengundi kelak, khususnya kepada generasi muda.

Rafizi berkata, beliau bersama rakan pemimpin lain mahu meneruskan perjuangan terutama melibatkan reformasi yang memerlukan usaha berterusan.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PKR memaklumkan, tidak adil untuk membiarkan usaha tersebut kepada generasi muda yang terpaksa bermula dari kosong.

“Kalau PKR tidak sehaluan lagi dengan kami atau tidak lagi menyokong idea dan idealisme seperti ini maka kami perlu berfikir untuk berlayar dengan ‘kapal’ sendiri.

“Saya minta penyokong memberi masa sehingga tiga bulan untuk mengaturnya. Kami sedang melihat dari segi angka dan pelbagai konfigurasi politik berbeza. Saya rasa, anda akan dengar lebih banyak pengumuman daripada kami selepas Jun ini.

“Bagi mereka yang merasakan ‘habislah, tidak ada pilihan, nak undi siapa lepas ini’. Saya faham perasaan itu, sebab itulah saya masuk politik pada 1998, saya mahukan pilihan (dan) alternatif,” katanya menerusi rancangan audiosiar bersama sebuah stesen radio.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, dirinya tidak mahu generasi muda merasakan bahawa mereka tiada pilihan sewaktu mengundi dalam pilihan raya.

“Sama ada kami menang, kalah atau benar-benar bawa perubahan. Saya rasa hanya masa akan menentukan,” katanya.

Dalam pada itu,Rafizi menegaskan, hubungannya dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak banyak berubah berbanding sebelum ini.

“Bagi saya, ia lebih kepada sejauh mana beliau boleh ‘tahan’ dengan saya. Apabila dia jadi Perdana Menteri, saya memang sentiasa seperti ini. Orang kata saya kasar, bergantung pada cara anda melihatnya,” katanya.

Menurutnya, sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri, beliau terima sikapnya dan menganggap sikapnya yang berterus terang itu sebagai aset.

“Beliau nampak kemampuan saya untuk gerakkan orang, mengangkat isu dan fokus pada isu yang saya pilih untuk perjuangkan. Ia merupakan satu aset kepada PKR, masa dia jadi pembangkang, tidak ramai orang yang sanggup buat kerja untuknya atau bantu meyakinkan pengundi untuk memilih PKR.

“Semua itu berubah selepas beliau menjadi Perdana Menteri. Apabila sudah memegang jawatan itu, seluruh jentera kerajaan berada di dalam tangannya.

“Jadi saya nampak dalam beberapa bulan beliau menjadi Perdana Menteri, parti-parti politik khususnya PKR dan juga Pakatan Harapan (PH) semakin diketepikan. Seolah-olah mereka hanya aksesori sahaja,” katanya.

Hubungan antara Ahli Parlimen Pandan itu dengan Anwar dilihat semakin merenggang selepas pemilihan parti pada tahun lalu apabila anak Anwar, Nurul Izzah terpilih menjadi Timbalan Presiden.

Susulan itu, Rafizi melepaskan jawatannya di dalam Kabinet dan kerap mengeluarkan kritikan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri khususnya melibatkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Related Posts

Ahmad Farhan dilantik Pengerusi PH Pahang

KUANTAN – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pahang, Datuk Ahmad Farhan Fauzi dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang yang baharu menerusi pemilihan jawatankuasa gabungan itu. Ahmad Farhan akan dibantu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pas gagal, Bersatu hanya junjung titah Raja Perlis – Marzuki

DAKWAAN bahawa Bersatu mengkhianati Pas dalam kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis terus dipersoalkan apabila bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, menegaskan krisis itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Harga runcit RON95, RON97 dan diesel turun bermula esok

Harga runcit RON95, RON97 dan diesel turun bermula esok

PM umum kenaikan geran KRT kepada RM10,000 setahun

PM umum kenaikan geran KRT kepada RM10,000 setahun

Skim PADURI MADANI sedia dana RM230 juta bantu usahawan B40

Skim PADURI MADANI sedia dana RM230 juta bantu usahawan B40

Penjawat awam pemacu utama lonjakan daya saing Malaysia – PM

Penjawat awam pemacu utama lonjakan daya saing Malaysia – PM

Penyedia platform media sosial boleh dikenakan penalti RM10 juta, jika langgar syarat pengesahan umur pengguna

Penyedia platform media sosial boleh dikenakan penalti RM10 juta, jika langgar syarat pengesahan umur pengguna

Ahmad Farhan dilantik Pengerusi PH Pahang

Ahmad Farhan dilantik Pengerusi PH Pahang