Ahmad Zahid belum bebas sepenuhnya 47 pertuduhan, Mahkamah Tinggi tangguh Keputusan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada Selasa menangguhkan pendengaran prosiding permohonan pembebasan penuh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membabitkan 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.

Permohonan dilepas dan dibebaskan (DNA) yang sepatutnya didengar dan berkemungkinan diputuskan oleh Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor itu ditangguhkan kepada 24 April ini.

Walaupun tidak mendapat sebarang bantahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini, namun Presiden UMNO itu belum boleh menarik nafas lega.

Ia bagi membolehkan rayuan oleh Badan Peguam terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman mencabar keputusan Peguam Negara memberhentikan prosiding kes rasuah tersebut.

“Apa juga keputusan Mahkamah Rayuan akan mengikat mahkamah ini dan mahkamah ini tidak boleh mengganggu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan.

“Ketiga, ini adalah persoalan kepentingan awam yang memerlukan pertimbangan oleh Mahkamah Tinggi serta mengambil kira keputusan terkini Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan mengenai kuasa budi bicara Peguam Negara atau Pendakwa raya mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan,” kata Hakim Nurulhuda Nur’aini.

Buat masa ini, katanya, mahkamah tidak akan membuat keputusan walaupun pihak Pendakwa Raya telah menyatakan bahawa mereka tidak membantah permohonan ini.

“Ini kerana apa juga keputusan Mahkamah Rayuan atau apa juga keputusan oleh mahkamah ini, akan menentukan perjalanan prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap permohonan kebenaran tersebut. Oleh itu, dalam perkara berkepentingan awam ini, mahkamah tidak akan memutuskan permohonan ini hari ini,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad memaklumkan mahkamah bahawa beliau hanya diarahkan untuk hadir dan Pendakwa Raya juga tidak mempunyai sebarang bantahan dengan permohonan Ahmad Zahid.

“Dengan izin kami diserah pagi ini dengan bantahan Badan Peguam terhadap permohonan DNA. Arahan yang diberi (hanya) untuk hadir. Tiada bantahan terhadap permohonan (untuk DNA). Saya serahkan kepada mahkamah (untuk membuat keputusan),” katanya.

Ahmad Zahid memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi pada 28 Januari lalu dengan menamakan AGC sebagai responden, dengan alasan Peguam Negara dalam satu kenyataan akhbar pada 8 Januari lalu, memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan berkenaan.

Pada 12 Januari pula, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar menegaskan bahawa keputusan untuk mengklasifikasikan kes Ahmad Zahid sebagai NFA dibuat selepas pihak pendakwaan mengkaji dengan teliti enam representasi yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dan tidak dibuat secara ‘suka-suka’.

Badan Peguam yang diwakili peguam Abhilash Subramaniam dan hadir sebagai amicus curie (rakan mahkamah) sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa mereka membantah terhadap permohonan itu.

Peguam itu memaklumkan terdapat rayuan berhubung permohonan kebenaran yang masih belum didengar dan diputuskan di Mahkamah Rayuan dan sekiranya pembebasan penuh diberikan pada ketika ini, ia boleh menyebabkan cabaran tersebut menjadi akademik.

Peguam Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik bangkit dan membantah kehadiran Badan Peguam dan turut menyatakan institusi itu tidak mempunyai sebarang locus standi (hak di sisi undang-undang) dalam permohonan itu.

Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan AGC ingin memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Related Posts

Fahmi seru semua pihak hayati titah Agong, junjung semangat Rukun Negara

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk ahli politik perlu menghayati dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mengingatkan rakyat mengenai kepentingan mengamalkan semangat serta nilai Rukun Negara dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Platform media sosial wajib patuhi undang-undang Malaysia – Fahmi

KUALA LUMPUR – Semua platform media sosial yang beroperasi di Malaysia diwajibkan menghormati dan mematuhi undang-undang negara, khususnya yang melibatkan aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital. Menteri Komunikasi,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PRN Johor awal cetus persoalan, Wanita AMANAH dakwa politik dahului kepentingan rakyat

PRN Johor awal cetus persoalan, Wanita AMANAH dakwa politik dahului kepentingan rakyat

2 maut dalam kemalangan di Kampung Batu Tujuh

2 maut dalam kemalangan di Kampung Batu Tujuh

Pengesahan umur akaun media sosial lindungi keselamatan anak muda – PPIM

Pengesahan umur akaun media sosial lindungi keselamatan anak muda – PPIM

Acuan Imigresen dalam dedahkan kesalahan pegawai perlu dicontohi agensi kerajaan

Acuan Imigresen dalam dedahkan kesalahan pegawai perlu dicontohi agensi kerajaan

Sambutan Hari Gawai cerminkan perpaduan rakyat Sarawak

Sambutan Hari Gawai cerminkan perpaduan rakyat Sarawak

Penunggang motosikal maut selepas terbabas masuk gaung

Penunggang motosikal maut selepas terbabas masuk gaung